Kereta Berhias UMPSA berkonsepkan teknologi jadi tumpuan ramai di Malam Karnival Rakyat Pahang 2024
KUANTAN, 2 Februari 2024 - Kereta berhias Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mendapat sambutan dan menjadi tumpuan apabila tampil dengan konsep teknologi bersempena Malam Karnival Rakyat Pahang 2024.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al- Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat tiba menyaksikan acara.
Berangkat sama Kebawah Duli Yang Maha MuliaTengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perarakan kereta berhias ini melibatkan 11 daerah dan sembilan agensi di negeri Pahang termasuk UMPSA yang menyaksikan sejauh kira-kira 16 kilometer bermula daripada Serambi Teruntum melalui Jalan Besar, Jalan Kemunting ke Dataran Sayangi Kuantan.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut hadir berkata, program ini memberi peluang UMPSA yang menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia program TVET negara ini mendekati masyarakat setempat seiring dengan penjenamaan UMPSA yang sebelum ini dikenali sebagai UMP.
“Mengangkat tema ‘Pendidikan dan Teknologi untuk Masyarakat’, UMPSA yang diiktiraf berada di tangga ke-68 terbaik dunia dalam UI Greenmetric World University Rankings memperkenalkan konsep lestari dengan memberi penekanan terhadap sumber alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Selain itu, reka bentuk kereta berhias ini turut menyampaikan mesej dengan mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha melindungi Raja Rimba iaitu Harimau Malaya yang merupakan ikon kebanggaan negara.
Sebagai universiti teknologi, semua gambaran ini dipamerkan di dalam bentuk visual digital yang lebih menarik di sepanjang perarakan.
Turut ditampilkan pintu masuk Istana Abu Bakar yang merupakan istana rasmi Sultan Pahang yang terletak di bandar Diraja Pekan.
Begitu juga tarikan negeri Pahang yang cukup bertuah, kaya dengan kawasan tanah tinggi, hutan rimba dengan flora dan fauna yang terpelihara, pantai-pantai dengan pemandangan yang mempesona dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut berbangga dan menzahirkan rasa penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua warga kerja UMPSA yang telah bertungkus-lumus menjayakan kenderaan berhias ini.
Katanya, sesungguhnya bukan kemenangan yang diburu, namun kebersamaan dan keterlibatan UMPSA dalam memuliakan Keberangkatan Balik KDYMM Tuanku berdua ke Negeri Pahang Darul Makmur ini lebih utama dan bermakna.
Beliau juga berbangga kerana UMPSA merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) di Negeri Pahang yang terlibat dalam perarakan kenderaan berhias ini.
Penonton turut berpeluang menyaksikan persembahan Tari Silat Madani yang melibatkan seramai 25 orang daripada Kelab Kencana Pawana UMPSA.
Lebih menarik kenderaan berhias UMPSA turut menampilkan persembahan nyanyian bersama staf Pusat Sukan dan Kebudayaan UMPSA dan pelajarnya di sepanjang jalan dari Serambi Teruntum ke Dataran Sayangi Kuantan ini.
Turut hadir memberi sokongan adalah seramai 50 mahasiswa UMPSA dari kedua-dua kampus di Pekan dan juga Gambang.
Pertandingan menyaksikan Majlis Daerah Jerantut memenangi hadiah bagi kategori undian awam.
Manakala johan kereta berhias dinobatkan kepada Tourism Pahang dengan membawa pulang mock cheque bernilai RM20,000.
Program turut dimeriahkan lagi dengan pertunjukan bunga api dan persembahan nyanyian oleh artis Aina Abdul, Ameng Spring, Afieq Shazwan dan Roslan Madun.
Program Karnival Rakyat Pahang yang bermula 2 Februari lalu berakhir pada 4 Februari dengan pelbagai pengisian seperti Pahang Food Fest, larian kemakmuran, kayuhan basikal 60 kilometer dan sukan rakyat.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 754 views