Kisah Akhir Zaman sempena Karnival Mahabbah 10.0
Kuantan, 27 September- Setiap Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada umat manusia sudah mengetahui tentang kemunculan Dajjal pada akhir zaman. Apabila munculnya Dajjal ke dunia ini, manusia akan sangat mudah terpengaruh kerana dikatakan Dajjal ini mempunyai kuasa yang boleh mengelirukan manusia. Antaranya menyuburkan tanah yang gersang, menyembuhkan orang yang sakit, menghidupkan orang yang mati dan lain-lain kebolehan yang istimewa.
Rasulullah S.A.W ketika hayatnya bersungguh-sungguh berdoa memohon kepada Allah perlindungan dari bahaya fitnah Dajjal dan memerintahkan umat manusia supaya sentiasa berhati-hati dengan Dajjal.
Begitulah pengenalan seminar yang disampaikan oleh Ustaz Haji Mohd Meeftah Anuar baru-baru ini yang mengupas tajuk “Akhir Zaman” dalam ceramah yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMP Kampus Gambang.
Bagaimanapun, menurut Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) itu, hidup manusia ini akan berhadapan dengan lima perkara iaitu syaitan, nafsu, Qarin, jin dan manusia itu sendiri yang juga selalu membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang dilarang.
“Hanya iman yang mampu menahan diri kita daripada tergoda dengan hasutan dan godaan. Amalan zikir harian, berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. dan beristighfar dapat dijadikan sebagai benteng mengawal diri di akhir zaman,” ujarnya.
Meneruskan bicara, Ustaz Mohd Meeftah berkongsi mengenai 9 lagi tanda-tanda besar akhir zaman selain munculnya Dajjal. Tanda kedua ialah keluarnya asap (Dukhan) yang menyelubungi bumi yang mana menyebabkan cahaya matahari terhalang dan perubahan iklim yang melampau. Ujar beliau, jerebu yang dialami oleh negara kita dan negara jiran pada ketika ini cumalah sebahagian kecil sahaja dari Dukhan itu.
“Kemudian Allah mengutuskan Nabi Isa yang diturunkan di sebuah menara putih di bahagian timur Damaskus bersama dua malaikat untuk memusnahkan Dajjal. Kedatangan Nabi Isa a.s adalah untuk menyelamatkan hamba-hamba Allah yang soleh. Setelah terhapusnya Dajjal, keluar pula Yakjuj dan Makjuj yang mana makhluk ini terlalu hebat. Nabi Isa berdoa meminta pertolongan kepada Allah, lalu Allah menurunkan penyakit sehingga makhluk yang hebat itu semuanya mati,” katanya.
Seterusnya, matahari akan terbit disebelah barat, tetapi sebelum itu, bumi akan berada dalam keadaan gelap selama dua atau tiga hari. Ketika matahari muncul semula dari sebelah barat, Allah sudah menutup pintu taubat serapat-rapatnya.
Tanda kiamat seterusnya, keluarnya sejenis binatang berkaki empat dari bumi, Dabbah. Dabbah akan berjumpa dan bercakap dengan manusia menggunakan bahasa yang kita fahami. Ia turut membawa dua alat iaitu tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman. Jika ia mendatangi seseorang dan menghulurkan tongkat Nabi Musa, maka wajah orang yang menerimanya akan bercahaya dan begitulah sebaliknya jika seseorang itu menerima cincin Nabi Sulaiman.
Ustaz Mohd Meeftah menerangkan bahawa gempa bumi akan terjadi sebanyak tiga kali yang akhirnya menyebabkan bumi hancur. Gempa tersebut berlaku di sebelah barat, timur dan di negeri-negeri Arab. Kemudian diakhiri tanda besar kiamat yang ke 10, iaitu api yang keluar mengiringi manusia ke tempat mereka dihimpunkan.
Apa pun yang terjadi katanya, umat Islam harus bersiap siaga, beriman dan beramal soleh kerana itulah hikmah tidak dijelaskan secara panjang lebar mengenai hari kiamat yang tiada siapa tahu kecuali Allah SWT.
Seramai 70 orang yang terdiri daripada warga UMP dan juga agensi kerajaan luar telah menghadiri seminar ini termasuk kehadiran enam orang pelajar bukan muslim yang turut serta dalam seminar itu. Ketika ditanya, Eugene Leong Kai Yi, pelajar tahun 3 daripada Fakulti Teknologi Kejuruteran Kimia dan Proses itu berkata, beliau dan rakan-rakannya berminat untuk mengetahui serba sedikit tentang akhirat dan agama Islam secara amnya.
Menurut Nolia Jusoh, peserta luar daripada Jaya Gading, program seumpama ini dapat memberi peringatan kepada kita yang selalu lalai dan mengharapkan pihak PIMPIN meneruskan program-program seperti ini pada masa hadapan.
Disediakan oleh Nur Sa’adatul Afzan Jusoh dari Bahagian Komunikasi Korporat.
- 169 views