Kolaborasi UMP dan BEM memperkasa profesion jurutera
PEKAN, 26 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bagi membantu graduan ijazah Kejuruteraan memperoleh pendaftaran berkelompok (bulk registration) di bawah Akta Pendaftaran Jurutera REA 1967.
Kolaborasi dengan BEM itu turut melibatkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Monash Malaysia dan Universiti Nottingham Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian itu menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani perjanjian bersama Presiden BEM, Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman.
Menurut Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly, program ini bertujuan untuk merealisasikan hasrat objektif pendaftaran secara berkelompok untuk para graduan.
“Ia adaalah merupakan salah satu usaha untuk memartabat dan memperkasa profesion Kejuruteraan di Malaysia terutamanya dalam kalangan graduan agar dapat diperkukuhkan dan jumlah jurutera berdaftar kepada penduduk dijangka dapat ditingkatkan nisbahnya kepada 1:100,” katanya dalam MoU yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
Pada kali ini juga pihak BEM turut mengumumkan penyerahan sebanyak RM 10,000 sebagai sumbangan anugerah kepada graduan Kejuruteraan yang cemerlang pada majlis konvokesyen kelak.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan terima kasih kepada pihak BEM atas jalinan kerjasama dan sumbangan yang bakal dimanfaatkan graduan Kejuruteraan.
Ujarnya, dengan termeterainya perjanjian ini memberi peluang bakal graduan UMP akan tamat pengajian dengan pengetahuan dan pengalaman diiktiraf selepas berdaftar dengan pihak BEM untuk menjadi seorang jurutera profesional.
“Semoga ia akan dapat memberi impak dan manfaat kepada graduan Kejuruteraan.
“Ia juga selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) untuk melahirkan graduan holistik yang sentiasa berusaha meningkatkan diri dalam bidang kecekapan mereka,” katanya.
Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Mohd. Rosli Hainin dan Dekan Kolej Kejuruteraan, Profesor Madya Ir. Dr. Nik Mohd Zuki Nik Mohamed.
BEM adalah sebuah badan kerajaan atau badan profesional dengan peranan utamanya untuk memudahkan pendaftaran jurutera dan mengawal selia kelakuan profesional dan amalan jurutera berdaftar bagi melindungi keselamatan dan kepentingan awam di Malaysia.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 120 views