Kolaborasi UMP dan MRSM dalam pengembangan inovasi pelajar
Pekan, 28 September- Kedua-dua kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) sama ada di Pekan ataupun di Gambang sentiasa terbuka untuk sebarang inisiatif jalinan kerjasama dengan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak terutamanya untuk pembangunan akademik, pembangunan kepimpinan dan pengembangan inovasi pelajar.
Menurut Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, universiti memiliki keupayaan mencukupi dari segi staf dan mahasiswa berwibawa yang boleh memberi impak positif kepada pembentukan persona intelektual muda yang matang dan berwibawa dalam kalangan anak-anak didik di MRSM ini.
“Kepelbagaian fakulti dan disiplin akademik yang terdapat di UMP boleh sahaja dimanfaatkan oleh pihak MRSM untuk meninjau prospek pembangunan bakat penyelidik atau inovator muda dalam kalangan pelajar Maktab ini. Manakala kewujudan pelbagai pertubuhan mahasiswa yang berwibawa di UMP juga boleh diteroka MRSM untuk tujuan sumbangan khidmat mahasiswa UMP bagi program kepimpinan, akademik, sukan atau kebudayaan yang melibatkan pelajar maktab ini,” katanya yang hadir merasmikan Majlis Graduasi MRSM ke-9 di Dewan Serai Utama MRSM Tun Abdul Razak baru-baru ini.
Katanya, UMP bukan sahaja harus muncul sebagai sebuah gedung pengetahuan yang berwibawa, tetapi berperanan sebagai institusi yang merakyat dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat di sekelilingnya. Maka, tentu sekali universiti berbesar hati sekiranya MRSM Tun Abdul Razak turut serta merealisasikan aspirasi ke arah sebuah Universiti- Komuniti dengan menjadi antara rakan sinergi.
Manakala Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Nik Jasmi Yaacob berkata, pihaknya berpuashati dengan pencapaian seramai 125 graduan Batch 2018 yang berjaya bergraduat dalam sistem pendidikan MRSM. Beliau mengharapkan semangat ini akan berterusan untuk berusaha dengan lebih gigih dalam menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran malaysia (SPM) yang bakal bermula 13 November depan.
Selain itu menghargai sumbangan UMP bagi Anugerah Kecemerlangan Akademik dan sumbangan pihak Badan Muafakat MRSM Tun Abdul Razak bagi Anugerah Kecemerlangan Sahsiah kepada pelajar sebagai dorongan dan galakan serta mengiktiraf pencapaian mereka.
Dalam majlis ini menyaksikan Adam Haiqal Mohd. Jeffri dianugerahkan Tokoh Pelajar 2018. Nurizyan Athilah Jasmadi dan Muhammad Najwan Safiy Mohd Nazul pula dinobatkan Anugerah Kecemerlangan Akademik pada tahun ini. Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan Sahsiah pula diterima Tuan Nur Syahida Najwa Tuan Zulaini dan Muhammad Haziq Haikal Muhammad.
- 173 views