Skip to main content

Mahasiswa UMP Edar Makanan Singgah Sahur di Kotaraya

Kuala Lumpur, 14 Mei- Sebagai menghargai tugas penjawat awam yang berkhidmat pada waktu malam seramai 40 sukarelawan Skuad MyGift Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam kalangan turun padang untuk menemui golongan sasar itu dalam Program SinggahSahur @KL yang bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan orang ramai sepanjang malam.

 

Sebanyak 600 pek makanan diedarkan kepada anggota Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petugas dan orang awam di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur serta gelandangan sekitar bandaraya. 

 

Kehadiran sukarelawan disambut Ins. Baalanagan A/L Chandran yang rupakan Pegawai Penyiasat Jenayah dan Ins. Sarawanan a/l Panrengam, Pegawai Penyiasat Jenayah Nakortik, IPD Dang Wangi. Turut sama hadir bersama sukarelawan Ketua Pegawai Operasi Petronas ICT Sdn. Bhd., Izwan Hasli Ibrahim yang juga Pemegang Amanah MyGift UMP. 

 

Menurut Izwan, dengan adanya program sebegini, dapatlah memberi peluang mahasiswa menyelami dan menyumbang khidmat bakti  untuk memberikan keceriaan kepada anggota polis yang bertugas sepanjang bulan Ramadan ini.

 

“Lebih menarik difahamkan dalam kalangan kumpulan sukarelawan sendiri terdiri daripada mahasiswa yang menerima manfaat inisiatif MyGift termasuklah daripada keluarga B40. Program sebegini dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kehidupan gelandangan di ibu kota serta pengorbanan penjawat awam berkhidmat tatkala orang lain lena tidur serta dapat bersahur bersama keluarga," katanya di sini.

 

Manakala bagi pengarah program,Najihan Zanian yang merupakan  mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen mahasiswa yang sanggup mengorbankan masa apatah lagi sewaktu minggu ulangkaji bagi menghadapi  peperiksaan semester tidak lama lagi.  

Pada kali ini sukarelawan juga mengedarkan kit kebersihan kepada gelandangan serta membersihkan kawasan sekitar tempat tumpuan ramai termasuk sekitar Masjid Negara. 

 

Tambah menarik apabila program kali ini turut memberi peluang mahasiswa menyampaikan juadah sahur bersama petugas di kaunter tiket TBS Kuala Lumpur. Hadir sama Pengurus MAJU TMAS Sdn. Bhd , Khairos Ishak yang turut memberi penerangan dan membawa sukarelawan melawat sekitar terminal.  

 

Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti MyGift dalam memasyarakatkan kampus. Program Singgah Sahur@KL memfokuskan petugas yang bekerja pada waktu malam terutamanya di kalangan penjawat awam dan petugas kaunter. Ianya berkonsepkan singgah bermesra sambil menyerahkan sumbangan juadah bersahur kepada mereka.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri