Mahasiswa UMP imarahkan Ramadan bersama komuniti kampung
Kuantan, 11 Mei- Dalam menghidupkan penghayatan di bulan Ramadan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Iftar Perdana Mahasiswa dan Masyarakat yang merupakan salah satu program mendekatkan mahasiswa dengan komuniti.
Program dianjurkan Persatuan Mahasiswa Luar Kampus (PMLK) dengan mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Penduduk Perumahan Makmur Gambang Jaya, Persatuan Staf Akademik UMP (PAKAD) dan Jabatan Kemahiran Insaniah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin, program ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk menjalinkan hubungan antara PMLK bersama masyarakat luar.
“Program ini sebagai salah satu platform yang baik kepada UMP dalam membantu mahasiswa luar kampus. Selain itu warga kampus dapat menjalinkan hubungan yang lebih mesra bersama masyarakat luar,” katanya.
Lebih menarik pihaknya menerima sumbangan bahan-bahan mentah termasuk ikan dan sayur-sayuran daripada pihak luar. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif UMP Campus Pantry dan MyGift UMP yang dilaksanakan universiti dalam mengumpul sumbangan yang dapat membantu mahasiswa yang memerlukan dan kini ianya bukan sahaja dapat dimanfaatkan buat mahasiswa dalam kampus malahan luar kampus serta masyarakat setempat.
Sementara tu, menurut Dr Rohana Hamzah yang merupakan Ketua Jabatan Kemahiran Insaniah, PBMSK yang juga penasihat PMLK, UMP amat mementingkan pembangunan diri mahasiswa secara holistik. Oleh itu membangunkan kepimpinan mahasiswa luar kampus adalah satu keperluan memandangkan suasana kehidupan luar kampus yang lebih mencabar membuka ruang dan peluang kepada pembangunan jati diri mahasiswa UMP dalam kehidupan sebenar.
Secara tidak langsung PMLK boleh dijadikan platform untuk memasyarakatkan mahasiswa UMP dan menyediakan mereka sebagai pemimpin masyarakat apabila mereka bergraduan nanti.
Bagi Pengarah Program Iftar Perdana Mahasiswa Masyarakat, Muhd. Haziq Abdul Halim berkata, iftar ini dapat membantu para mahasiswa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan juadah berbuka puasa. Malahan program juga mengeratkan silaturahim apabila dapat memasak juadah berbuka dengan bergotong-royong melibatkan mahasiswa bersama penduduk setempat.
Lebih 500 tetamu hadir dalam program iftar dengan juadah istimewa iaitu Ayam Masak Kurma, Ayam Masak Merah, Ikan Kerisi Goreng, Sayur Ulam, buah-buahan dan pencuci mulut.
Turut diadakan ceramah Ihya Ramadan yang disampaikan pensyarah UMP, Dr Mohd Suharmi Mat Jusoh. Hadir sama Dekan PBMSK, Prof Madya Dr Muhammad Nubli Abdul Wahab, Ketua Balai Polis Gambang, SM Mohd Hanif Ahmad, Eksekutif Kanan Unit Kebajikan JHEPA, Azlina Abdul Mubin, Yang Di-Pertua MPP, Zakwan Zulkifle dan Ketua JK Taman Perumahan Makmur Gambang Jaya, Wan Esa Wan Mohd mewakili Jawatankuasa Kampung.
- 118 views