Skip to main content

Majlis Syarahan Umum Profesor UMPSA kongsi kepakaran teknologi pemangkin industri masa hadapan dan sistem penyimpanan tenaga mampan

GAMBANG, 5 Disember 2024 - Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Majlis Syarahan Umum Profesor bertempat di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang. 

Majlis Syarahan Umum Profesor hari ini menampilkan Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim menerusi syarahannya yang bertajuk ‘Teknologi Pemangkinan: Pemudahcara Sektor Industri Kini dan Masa Hadapan’.

Manakala Profeosr ChM. Dr. Chong Kwok Feng pula dengan syarahan yang bertajuk ‘Sistem Penyimpanan Tenaga Mampan: Superkapasitor’. 

Menurut Dekan FSTI, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli, Majlis Syarahan Umum Profesor ini merupakan satu platform yang amat bermakna dalam institusi akademik. 

"Ia bukan sahaja memberikan peluang untuk para academia dan masyarakat mendengar kupasan ilmu yang bernilai tinggi, tetapi juga menjadi lambang kepada keunggulan bidang keilmuan dan penyelidikan yang diterajui oleh para profesor di FSTI. 

“Majlis Syarahan Umum Profesor hari ini menampilkan Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim yang merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang cemerlang dalam bidang Pemangkin dan Tindak Balas Kimia, Pembangunan dan Formulasi Bahan Termaju serta Bahan Kimia. 

"Kepakaran dan kecemerlangan beliau turut diiktiraf di peringkat global apabila disenaraikan dalam kalangan 2 peratus Saintis Terbaik di Dunia berdasarkan laporan Universiti Stanford melalui pangkalan data Elsevier/Scopus,” ujarnya. 

Malah katanya lagi, beliau juga telah mencatatkan pencapaian luar biasa dengan menerbitkan salah satu jurnal paling berprestij dan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. 

“Selain itu, Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi telah berjaya memperoleh geran penyelidikan yang dibiayai oleh Suruhanjaya Eropah. 

“Manakala Profesor ChM. Dr. Chong Kwok Feng pula merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang tersohor dalam bidang Elektrokimia.

"Beliau telah menerbitkan lebih daripada 100 artikel penyelidikan dalam pangkalan data Web of Science dengan jumlah sitasi melebihi 5,000 yang mencerminkan impak besar penyelidikannya di peringkat global,” katanya. 

Selain penglibatannya dalam penyelidikan, Profesor ChM. Dr. Chong Kwok Feng turut aktif dalam menyumbang kepada badan profesional, khususnya Institut Kimia Malaysia (IKM). 

Beliau merupakan salah seorang pengasas IKM Cawangan Pahang pada tahun 2019 dan ini menunjukkan dedikasi beliau dalam memperkasa bidang Kimia di peringkat tempatan. 

Kata Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila lagi, di peringkat antarabangsa pula, Profesor ChM. Dr. Chong telah diundi sebagai Anggota Bersekutu dalam Bahagian I IUPAC (Kimia Fizikal dan Biokimia) untuk tempoh 2022 hingga 2025 yang merupakan suatu pencapaian yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai seorang saintis yang disegani,” ujarnya. 

Majlis menyaksikan Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha melancarkan gimik perasmian buku “’eknologi Pemangkinan: Pemudahcara Sektor Industri Kini dan Masa Hadapan” oleh Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim dan buku  ‘Sistem Penyimpanan Tenaga Mampan: Superkapasitor’ oleh Profesor ChM. Dr. Chong Kwok Feng. 

Majlis Syarahan Umum Profesor UMPSA

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dato’ Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Ts. Dr Mohamad Rusllim Mohamed, Penyelaras DUN Lepar mewakili Ahli Parlimen Paya Besar, Muhammad Mustaqim  Zakaria, Pengerusi Institut Kimia Pahang, Profesor Madya. ChM Dr. Awis Sukarni Mohmad Sabere, barisan dekan fakulti, ketua-ketua jabatan dan pengarah.

Hampir 350 orang hadir di majlis syarahan umum yang terdiri daripada warga universiti dan juga jemputan luar antaranya pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kuantan, pelajar dari Akademi Menara Gading (AMG) dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Gambang dan SMK Padang Garuda, Kolej Poly-Tech MARA, Kuantan, Kolej Matrikulasi Pahang serta wakil-wakil industri.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad