Skip to main content

Malam Gema Insan buka tirai Expokonvo UMPSA

PAYA BESAR, 12 Oktober 2024 - Lebih 3,000 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan warga Pahang membanjiri Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang bagi menyaksikan Malam Gema Insan Di Bawah Langit Aman yang diadakan bersempena Expokonvokenyen UMPSA 2024.  

Malam Gema Insan mengangkat tema keamanan dengan menyampaikan mesej solidariti ke arah perpaduan dengan penampilan artis Dato' Awie, Naim Daniel, Faizal Tahir dan Fynn Jamal yang mendapat sambutan hangat penonton yang hadir.  

Acara dimulai dengan gimik pelancaran Expokonvo disusuli alunan puisi indah yang disampaikan oleh Fynn Jamal atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin satu nama yang tidak asing lagi dalam industri seni. 

Malam Gema Insan buka tirai Expokonvo UMPSA

Hadir sama dalam program ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Menurut Dato' Indera Mohd Shahar, pemilihan artis dan program ini sesuai dengan jiwa anak-anak muda bukan sahaja berhibur namun sarat dengan mesej keamanan disampaikan di sepanjang program. 

Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan pihak UMPSA. 

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, selaras dengan saranan dan aspirasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),  mahasiswa masa kini perlu diberi lebih banyak ruang dan tanggungjawab dalam membuat keputusan semasa kehidupannya di kampus.

“Gerakan dan aktiviti mahasiswa di UMPSA telah diberi kebebasan dan kuasa mengurus serta mentadbir dengan bimbingan daripada pelbagai pihak di UMPSA. 

“Pelbagai aktiviti menarik dirancang menjelang Majlis Konvokesyen termasuklah Hari Terbuka UMPSA melibatkan reruai kelab, persatuan mahasiswa UMPSA dan agensi-agensi jabatan kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya. 

Penganjuran Expokonvokesyen 2024 menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 pada 26 hingga 29 Oktober ini merupakan satu manifestasi dan mesej cukup jelas bahawa anak muda masa kini cukup bertenaga, kreatif dan optimis untuk memimpin apabila mereka diberi pendedahan mengurus program.

Lebih bermakna program turut dihadiri aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif kepada pertubuhan bukan kerajaan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM).

Beliau hadir bersama isterinya, Reem Almenawi, dan keluarga apabila anaknya Eman A. N. Mustaha satu-satunya warganegara Palestin bagi program prasiswazah yang mula mendaftar di UMPSA bagi mengikuti pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) di Fakulti Komputeran. 

Turut berlangsung Hari Terbuka bagi memberi peluang para mahasiswa tahun 1 khususnya dapat meneliti dan berinteraksi dengan lebih dekat bersama wakil kelab dan persatuan badan pelajar aktif yang ada di universiti ini mengikut minat dan keperluan bagi nilai pada diri masing-masing. 

Terdapat 86 kelab dan persatuan di UMPSA berpadanan dengan minat dan bakat untuk disertai pelajar. 

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri