Skip to main content

Meja Bulat UMPSA buka Wacana Kebangsaan tentang Nadir Bumi dan Masa Depan Malaysia

KUANTAN, 8 Disember 2025 – Perbincangan strategik mengenai masa depan industri nadir bumi negara mendapat perhatian yang tinggi apabila Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama Friends of Sustainable Malaysia dan CONFEXHUB menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertemakan ‘Malaysia’s Rare Earth Crossroads: Powering A Green Future, Protecting Our Natural Heritage’ di UMPSA Holdings Hall, Gambang. 

Program ini menghimpunkan pemimpin berpengaruh, tokoh penyelidikan, pembuat dasar dan pemain industri dalam usaha memperkukuh ekosistem nadir bumi negara melalui pendekatan yang lebih bertanggungjawab, mampan dan berorientasikan masa depan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, telah menggariskan kedudukan penting Malaysia dalam landskap global nadir bumi, khususnya ketika dunia sedang giat mempercepatkan peralihan ke arah teknologi hijau. 

Ujarnya, Malaysia kini berada pada persimpangan kritikal iaitu apabila potensi ekonomi dan kapasiti teknologi mesti digerakkan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar. 

Meja Bulat UMPSA buka Wacana Kebangsaan tentang Nadir Bumi dan Masa Depan Hijau Malaysia

“Keperluan meningkatkan rantaian bekalan global yang stabil dan beretika menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara tidak sekadar mengejar peluang komersial tetapi turut menjaga kepentingan sosial dan ekologi,” katanya. 

Beliau turut menyentuh perkembangan pasaran dunia yang menyaksikan China terus mendominasi lebih 60 peratus pengeluaran nadir bumi global sementara Amerika Syarikat, Australia dan Rusia memperkukuh kedudukan masing-masing. 

“Kebergantungan kepada negara pengeluar tunggal menimbulkan risiko dari segi geopolitik, keselamatan bekalan dan ketidaktentuan pasaran, menjadikan kehadiran pemain baharu yang bertanggungjawab seperti Malaysia semakin penting dalam membentuk rantaian bekalan global yang lebih selamat dan lestari.

“Malaysia memiliki prospek cerah melalui penemuan awal deposit nadir bumi di Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Penang dengan nilai potensi yang dianggarkan puluhan bilion ringgit,” jelasnya. 

Walau bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa sejarah lampau seperti insiden Blue Lake menjadi bukti bahawa sebarang pembangunan tanpa kawalan alam sekitar yang ketat boleh membawa kesan jangka panjang. 

“Justeru, setiap langkah negara mesti berpaksikan prinsip ketelusan, integriti dan pemuliharaan.

“Dalam konteks pembangunan teknologi, Pusat Kecemerlangan SMARRT UMPSA yang ditubuhkan sejak tahun 2014 berfungsi sebagai pemangkin utama pembangunan teknologi nadir bumi negara. 

“Pusat ini bukan sahaja menjalankan penyelidikan penerokaan dan pengekstrakan, tetapi turut membangunkan teknologi nilai tambah seperti bahan magnet kekal, pemangkin dan komponen elektronik,” katanya. 

Beliau menambah dengan sokongan dana SRF bernilai RM7 juta bagi pembangunan proses pemisahan EYE THREE serta endowed chair bersama Advanced Super Magnet Sdn. Bhd., SMARRT sedang menempatkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam rantaian nilai global. 

“Pendekatan pemulihan berasaskan flora natif, ekonomi kitaran serta penerokaan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon turut menggambarkan komitmen UMPSA terhadap aspek kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar,” jelasnya. 

Program diteruskan dengan pembentangan utama oleh Naib Presiden Malaysia Lynas Rare Earth Ltd, Dato’ Sri Mashal Ahmad yang membawakan ucaptama bertajuk ‘Scene Setting of World Development of Rare Earths Industry’.

Beliau menggariskan secara menyeluruh trend global, permintaan pasaran, kedudukan negara-negara utama pengeluar, dan keperluan Malaysia membina kapasiti teknikal dan infrastruktur bagi memastikan negara bukan sekadar pembekal bahan mentah tetapi pemain strategik dalam industri bernilai tinggi. 

Malah, beliau turut menyentuh isu kelestarian, kepatuhan peraturan antarabangsa serta peluang Malaysia membangunkan rantaian bekalan yang lebih bersih dan bertanggungjawab bagi memenuhi permintaan industri teknologi hijau dunia.

Sesi forum menampilkan panel berwibawa yang meliputi pelbagai disiplin dan latar belakang, Pensyarah UCSI University Kuala Lumpur, Professor Dato’ Dr. Ahmad Ibrahim, Vice-President Malaysia, Lynas Rare Earth Ltd, Dato’ Sri Mashal Ahmad, Executive Technical Director, UDPS Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Ts. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, dan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Syarifah Abd Rahim. 
                 
Forum ini merangkumi perbincangan mendalam mengenai mekanisme pembangunan industri nadir bumi, standard keselamatan, pemuliharaan biodiversiti, hala tuju penyelidikan dan pembangunan, cabaran penerimaan masyarakat, serta keperluan mewujudkan dasar nasional yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Majlis diteruskan dengan ucapan penutup oleh Penasihat Friends of Sustainable Malaysia, Dato’ Seri Mustapa Mohamed yang merumuskan bahawa Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan pendekatan berani tetapi berhati-hati, memastikan peluang ekonomi diterjemahkan menjadi manfaat nyata kepada rakyat tanpa mengorbankan khazanah alam yang menjadi identiti negara. 

Program turut diselitkan dengan lawatan makmal sempena Open Day for REE Tech Expo yang membolehkan peserta melihat sendiri demonstrasi teknologi nadir bumi, kaedah pemprosesan, platform pemantauan alam sekitar serta penyelidikan terkini yang dijalankan di UMPSA dan rakan industri. 

Lawatan ini turut membuka ruang untuk perbincangan lanjut mengenai kerjasama penyelidikan, pembangunan bakat serta peluang pelaburan masa depan.

Perbincangan sepanjang hari itu turut menegaskan bahawa Malaysia memiliki kapasiti besar untuk menjadi peneraju serantau dalam industri nadir bumi yang mampan, berintegriti dan berimpak tinggi. 

Dengan kesepaduan kepakaran penyelidikan, dasar berasaskan sains, teknologi yang terus maju serta komitmen menjaga alam sekitar, Malaysia berupaya mengemudi persimpangan penting ini dengan penuh keyakinan menuju masa depan hijau yang lebih selamat dan berdaya tahan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Mining Corporation, Dato’ Haji Ahmad Rizal Ali, Pengarah Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP), Rashdan Abdul Manaf, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Zakaria Ahmad@Mohd, Timbalan Presiden MIGHT, Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail, dan Ketua Pegawai Eksekutif CONFEXHUB Sdn. Bhd., Paul Yeo. 

Wakil UMPSA, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan, Profesor Ts. Dr. Abdul Adam Abdullah, Pengarah Kanan (Jaringan Industri dan Masyarakat) Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah Pusat Hubungan Industri, Profesor Madya Doh Shu Ing, Pengarah Pusat Hubungan Komuniti, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris, Pengarah Kanan, Pengarah Kanan, Center for Rare Earth and Critical Mineral, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Yusri Mohd Yunus, dan Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber, Profesor Madya Dr. Mohd Yuhyi Mohd Tadza.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri