Skip to main content
Menteri Luar Berkunjung Bertemu Warga UMP

Menteri Luar Berkunjung Bertemu Warga UMP

Kuantan, 22 Oktober- Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah hadir bertemu dengan lebih 1000 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam Program Ramah Mesra yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Gambang.

Hadir dalam program Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama pengurusan universiti. Sambutan dimeriahkan dengan berlangsungnya Fiesta Makanan Antarabangsa anjuran mahasiswa antarabangsa dan Pejabat Antarabangsa UMP.

Terdapat pelbagai juadah antarabangsa antaranya Algerian Baklava, Griwesh, Gribiya, Black & White Cake, Choco-vany, Vegeterian Pulao dan Mutton Masala (Bangladesh), Dumpling (China), Vegetarian Biriyani, Kholapuri Chicken & Chicken Soup (India),   Chicken Karachi, Chicken Pulawo, Naan, Salad (Pakistan), Kebab dan Mandy Khabsah (Yaman).

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, kunjungan buat pertama kalinya sejak dilantik Menteri Luar Malaysia ini memberi peluang warga kampus bertemu secara dekat dengan Datuk Saifuddin.

“UMP mempunyai lebih hampir 1000 mahasiswa antarabangsa dengan lebih 30 negara termasuklah Yaman, Bangladesh, Iraq, Libya, Pakistan, Indonesia, Sudan, Tunisia dan lain-lain yang berada di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan,” katanya.

Penganjuran fiesta ini merupakan salah satu program dalam mempamerkan juadah yang mempunyai citarasa yang berbeza serta persembahan kebudayaan negara masing-masing. Selain itu dapat mempromosikan agenda pengantarabangsaan yang mana komuniti UMP berpeluang memperoleh pengalaman silang budaya di samping memperkayakan pengalaman pembelajaran   dan menggalakkan integrasi antara kaum dan bangsa.
 
Manakala penyertaan komuniti luar UMP ini bakal memberi peluang mereka memperoleh pengalaman perkongsian budaya berbeza dengan berinteraksi lebih dekat bersama komuniti antarabangsa UMP.
 
Secara tidak langsung ianya menjurus ke arah keharmonian bangsa dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian. Suasana persekitaran antarabangsa yang disemai melalui penganjuran program seperti ini juga memberi pengalaman yang menarik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.
 
Dalam program ini juga Datuk Saifuddin turut menyampaikan Portfolio Kementerian Luar mencakupi hubungan dua hala politik dunia- Malaysia melalui faktor geografi,  geopolitik, geoekonomi dan geodiplomatik negara. Selain itu berkaitan tugas dalam memastikan hubungan diplomatik antara negara, diplomasi selain kedaulatan negara yang diperkukuhkan dengan dasar keselamatan negara.
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri