Menyemai ilmu cinta Sains dan Teknologi buat warga pendidik
Pekan, 5 Oktober – Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Pekan dan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) menganjurkan program Menyemai Ilmu Cinta Sains dan Teknologi yang diadakan di Bilik Kuliah, PBMSK baru-baru ini.
Program yang melibatkan 58 orang warga pendidik dari 52 buah sekitar di sekitar Kuantan dan Pahang merupakan antara program Corporate Social Responsibility (CSR) yang dilaksanakan bagi memberi pendedahan mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pendidik.
Menurut pengarah program, Dr. Rohana Hamzah, program ini memberi fokus tentang kefahaman tentang ilmu yang perlu menjadi pengerak kepada proses penyemaian cinta ilmu sains dan teknologi di sekolah disamping menekankan aspek insaniah dan kerohanian.
“Melalui program ini, warga pendidik akan diberi pendekatan pendidikan secara integrasi holistik yang menjadikan ilmu akal atau ilmu akademik sebagai platform untuk mengukuhkan mesej ilmu wahyu secara bersepadu dan integrasi. Modul Pendekatan Pendidikan Integrasi Holistik Membangunkan Kecerdasan Spiritual turut digunakan dalam program ini,” katanya.
Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Cempedak, Kamal Junaidi Zamli berkata program ini dapat menerapkan kembali nilai-nilai murni kepada pelajar di samping menjadi refreshment course kepada warga pendidik. Beliau juga mengharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan di samping dapat diseimbangkan dengan nilai-nilai kerohanian.
Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali.
Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat.
- 86 views