Skip to main content

Pejabat SUARA UMP lancar 4 buku baharu

Pekan, 26 September 2020 - Sebanyak empat buah buku terbitan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dilancar dalam Majlis Inspirasi SUARA UMP anjuran Pejabat SUARA UMP yang berlangsung di Executive Lounge, Perpustakaan UMP Pekan baru-baru ini.
 
Buku berjudul ‘Belalai Gajah’ atau nama saintifiknya Clinacanthus Nutans hasil tulisan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Dr. Hazrulrizawati Abd. Hamid merungkai kelebihan khasiat pokok belalai gajah yang dikenal pasti mempunyai anti oksida yang tinggi bagi mengekalkan sel-sel sihat dalam tubuh manusia serta mempunyai sel aktif yang mampu memerangi penyakit barah.
 
Manakala buku ‘CAIC Series III: Teaching and Learning’ pula dihasilkan sekumpulan pensyarah yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Zuraina Ali dan Dr. Ruhil Amal Azmuddin daripada Pusat Bahasa Moden (PBM), Dr. Rohana Hamzah daripada Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dan  Dr. Awanis Romli daripada Fakulti Komputeran (FK).
 
Buku ini berjaya mengumpulkan pengalaman dan kepakaran para pensyarah dan guru bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran pembendaharaan Bahasa Inggeris yang dapat dimanfaatkan tenaga pengajar sama ada di universiti awam dan swasta.
 
Dua buah buku lagi berjudul ‘Sufism’ ditulis oleh Fatkhiddin Mansurov dan ‘Paediatrics Technology’ pula dihasilkan oleh Mohd Azrul Hisham Mohd Adib, Nur Hazreen Mohd Hasni, Lin Sheh Hong, Mohd Hanafi Abdul Rahim, Rabiatul Aisyah Ariffin dan Nur Afikah Khairi@Rosli.
 
Hadir dalam majlis pelancaran ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Ketua Pustakawan, Perpustakaan UMP, Azman Abdul Rahim dan Pengarah Pejabat SUARA UMP, Ts. Dr. Muhammad Mat Noor.
 
Dalam majlis itu, Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli mengucapkan tahniah kepada pihak Pejabat SUARA UMP dan penulis yang telah berjaya menghasilkan buku untuk rujukan pelajar serta dimanfaatkan bersama masyarakat.
 
“Bermula dengan minat membaca secara tidak langsung ia akan memupuk minat terhadap menulis.

“Walaupun dibebani dengan tanggungjawab mengajar bagi pensyarah, namun ilmu ini juga dapat diterjemahkan dengan penghasilan dokumen berbentuk buku.

“Selain itu, dengan kerjasama para pensyarah secara berkumpulan juga menjadi pencetus semangat untuk menghasilkan sebuah buku sehingga dapat diterbitkan,” katanya.
 
Beliau juga mencadangkan agar anugerah buku dan penulisan terbaik dapat diperkenalkan sebagai mengiktiraf kepakaran dan sebagai galakan buat pensyarah dalam menceburi bidang penulisan ini.

Lebih 30 tetamu hadir dan pada masa yang sama turut berlangsung sesi ulasan buku melibatkan perkongsian daripada para penulis.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit