Pelajar antarabangsa UMPSA teruja tonton filem ‘Mereka Yang Tertewas’ mengangkat keunikan negeri Pahang
KUANTAN, 13 November 2024 - Sekumpulan staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahnag Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berpeluang menonton tayangan filem ‘Mereka Yang Tertewas’ sebuah karya arahan Dato’ Zulkeflie M. Osman bersama-sama dengan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia Sukan dan Badan-badan bukan Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Fadzli Mohamad Kamal di pawagam Golden Screen Kuantan City Mall melalui program Tonton Santai.
Program itu turut dihadiri pelakon utama filem tersebut iaitu Fiza Halim dan juga pengarahnya Dato’ Zulkiflie M. Osman.
Filem yang sarat dengan nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan itu membawa penonton untuk mengambil iktibar dan pedoman dalam menjalani kehidupan sebagai muslim yang baik sama ada melalui hubungan bersama keluarga mahupun sesama insan lain.
Menurut salah seorang pelajar antarabangsa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) yang berasal dari Indonesia, Meilia Ayu Utami, filem ini berjaya membawa dirinya menikmati kehidupan masyarakat Melayu dis ekitar kebangkitan terhadap perkembangan agama Islam, iaitu di sekitar era penghujung tahun 70-an dan awal 80-an.
“Filem ini juga berjaya mengangkat keunikan negeri Pahang Darul Makmur apabila latar belakang keseluruhan filem dibuat di negeri Pahang seperti di Temerloh, Raub, dan Beserah.
“Kehidupan masyarakat nelayan yang dipaparkan dalam filem ini juga secara tidak langsung menunjukkan keindahan pantai-pantai yang terdapat di negeri Pahang,” ujarnya.
Manakala menurut Siti Nur Nazifah, 23, dari FTKEE dan Nor Alia Natasha, 21 dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), mereka begitu teruja dan seronok apabila menonton filem ini kerana ada di antara lokasi dan watak di dalam filem ini mereka pernah kunjungi dan kenali.
“Pantai-pantai yang melatari filem ini juga merupakan lokasi mereka kunjungi ketika waktu lapang dan cuti. ujar mereka.
“Keindahan dan keunikan yang dipaparkan menerusi filem ini khasnya dalam menampilkan lokasi-lokasi di negeri Pahang, gaya hidup masyarakat Pahang dan elemen kehidupan lain masyarakat Pahang secara tidak langsung menjadi medan mempromosikan negeri Pahang ke peringkat yang lebih jauh,” kata mereka.
Perkara ini juga diakui oleh Yang Berhormat Fadzli Mohamad Kamal sendiri apabila beliau melihat lokasi-lokasi negeri Pahang yang cantik turut diketengahkan dan secara tidak langsung mempromosikan negeri Pahang.
“Selain itu, filem yang diadaptasikan menerusi novel terkenal karya Hassanuddin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini begitu dekat dengan negeri Pahang kerana penulis karya ini sememangnya anak jati kelahiran negeri Pahang.
“Novel ini juga dijadikan teks kesusasteraan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sangat terkenal pada masa penerbitannya suatu ketika dulu,” ujarnya.
Manakala Pegawai Latihan Vokasional, Pusat TVET Termaju, Muhammad Hamka Embong yang hadir menonton filem ini mengatakan bahawa filem ini memberikan kesan terhadap dirinya melalui dialog-dialog yang disampaikan oleh barisan para pelakon sepanjang filem ini.
“Tutur kata, nasihat dan teguran yang ditonjolkan di dalam filem ini mempunya maksud yang sangat mendalam dan harus diteliti supaya menjadi pedoman kita dalam menjalani kehidupan harian sebagai muslim yang baik,” katanya.
Filem ini turut menampilkan Zaidi Omar, Fiza Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Adam Shahz, dan Mubarak Majid.
Turut hadir menyaksikan tayangan filem ini ialah Timbalan Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Yang Hormat Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, Naib Presiden DPMP, Tuan Haji Asmui Mustapha dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Semoga usaha mengangkat karya novel berunsur keagamaan menjadi adaptasi filem akan terus dipergiatkan dan diharapkan lebih ramai penulis muda negeri Pahang dapat menghasilkan karya-karya yang baik dan terus mencipta nama mereka ke peringkat lebih tinggi.
Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada mereka yang ingin mencuba menghasilkan karya penulisan untuk diketengahkan.
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden
- 439 views