Skip to main content

Pelajar UMP kembali ke kampus, proses berjalan lancar

KUANTAN, 15 Oktober 2021 - Proses kemasukan pelajar ke kampus UMP berjalan lancar hari ini apabila semua pelajar dan ibu bapa memberi kerjasama mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seramai 350 orang pelajar kembali ke kampus pada hari pertama hari ini dan ia akan diikuti seramai 1,200  yang dijangka pulang pada hari Sabtu dan Ahad ini. 

Kemasukan berperingkat  fasa 1 ini akan dilaksanakan secara berterusan pada minggu hadapan sehingga 30 Oktober depan membabitkan seramai 6,500 pelajar.

Mereka adalah dalam kalangan pelajar berkeperluan dengan beberapa kategori pelajar dibenarkan kembali ke universiti secara fizikal bagi menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) bagi mengikuti sesi pengajian semester baharu yang bermula 11 Oktober lalu.

Menurut Dekan Perkhidmatan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman, pihaknya  telah menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar dengan pembabitan semua jabatan di kampus termasuk Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Bahagian Keselamatan (BKES), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK).

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk mewujudkan gelembung kampus bagi memastikan kampus yang selamat dan warga universiti mencapai imuniti kelompok agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

"Bagi proses kembali ke kampus ini, setiap pelajar perlu menjalani ujian Covid-19 yang akan dibantu oleh PKU dan bagi keputusan pelajar negatif sahaja dibenarkan masuk ke kampus," katanya.

Dalam pada itu, aplikasi ADAB UMP diwujudkan bagi pelajar untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini sepanjang pengajian di universiti ini.  

Menurutnya, pelajar perlu memuat turun aplikasi ini bagi memudahkan pelajar untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan akademik, kebajikan pelajar, kewangan pelajar dan kemudahan yang terdapat di UMP.

“Selain itu juga, sepanjang berada di dalam kampus, pergerakan pelajar akan dipantau menerusi aplikasi UMP Trace yang disediakan di dalam aplikasi ADAB UMP. 

“Kawalan tambahan di residen pelajar juga  akan dilaksanakan, sekiranya wujud jumlah kes positif dan kontak rapat melebihi jumlah  kapasiti bilik isolasi yang terdapat residen pelajar.

“UMP turut juga merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan influx jangkitan Covid-19 dari luar kampus dan mengehadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan di dalam kampus,” ujarnya.

Bagi Fatinah Hanis Zamhari, 22, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan, beliau amat teruja dapat pulang ke kampus setelah hampir setahun tidak pulang ke kampus.

Ujarnya, ini pengalaman pertama beliau membuat saringan Covid-19 dan bersyukur keputusannya negatif. 

Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, kepulangannya ke kampus pada hari ini ditemani keluarga sejak Rabu lalu.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris