Peluang perkasa industri logistik negara
Kuantan, 8 September 2020 - Pelajar universiti perlu mengambil peluang menceburi bidang logistik dan penggunaan platform digital bagi memperkasa industri logistik di negara ini seiring dengan hasrat negara Malaysia yang bakal menjadi hab logistik utama di wilayah Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan PKT Logistic Group Sdn. Bhd., Dato’ Michael Tio berkata, pihaknya melihat keperluan tenaga kerja dalam bidang logistik akan bertambah dan memerlukan kerjasama dari institusi pendidikan bagi menyediakan individu berkemahiran tinggi untuk bekerja dalam sektor ini.
“Paling penting sikap (attitude), cekap bertindak dan budaya kerja bersungguh-sungguh (hard working culture) untuk bersaing dalam dunia yang lebih kompetitif.
“Gunakan masa sebaiknya untuk menimba ilmu pengetahuan dan ambil peluang bekerja untuk mendapatkan pengalaman. Pastinya kita boleh berjaya,” katanya dalam Program Siri Syarahan Profesional anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN) dengan kerjasama PKT Logistic Group Sdn. Bhd. di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UM), Kampus Gambang.
Program bertajuk ‘Covid-19: Impact to the Logistic Industry and Road to Recovery After Post- MCO’ itu dikendalikan Profesor Madya Dr,. Yudi Fernando dari Fakulti Pengurusan Industri sebagai moderator.
Menurut Dato’ Michael, berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 ini juga memberi kesan kepada rangkaian bekalan dan logistik yang menjadi pihak ketiga kepada penjual dan pembeli.
“Secara tidak langsung, ia memberi isyarat penting kepada peranan rangkaian bekalan dan logistik.
“Sebagai petugas barisan hadapan ketika berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, pihaknya juga telah mewujudkan kepelbagaian dan fleksibiliti terhadap rantaian bekalan untuk terus beroperasi,” katanya.
Jelas beliau lagi, peluang ini juga menjadikan mereka lebih berinovasi dalam memberikan kemudahan dan memperkenalkan teknologi baharu dalam operasi syarikat.
“Selain itu juga, kami turut menjalankan Tanggungjawab Sosial korporat (CSR) seperti tatkala musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kami mengagihkan ‘Lemang Kiah’ kepada para pekerjanya selain dapat membantu peniaga kecil-kecilan.
“Malah, sebagai tanda keprihatinan terhadap staf dan masyarakat setempat, kami juga melaksanakan program lestari seperti program ‘Anak Belajar Ibu Bekerja’ dan ‘Jom Bekerja Sambil Belajar’,” ujarnya.
Pada masa yang sama turut berlangsung majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMP dan PKT Logistic Group Sdn. Bhd. yang memberi peluang kedua-dua pihak merangka pembangunan akademik, penyelidikan, latihan industri, program keusahawanan dan penajaan.
Majlis menyaksikan UMP diwakili Naib Canselornya, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin.
Manakala pihak PKT Logistic Group Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusannya, Dato’ Michael Tio dan Ketua Pegawai Teknikal, Balakrishnan Muthukaruppan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd Sharil Abdullah yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah UMP.
- 302 views