Pembentukan Sinergi Kepimpinan MPP Baharu
Pekan, 13 Disember- Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu yang dilantik diharap dapat menggunakan peluang ini sebagai platform untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan bergerak lebih maju ke hadapan.
MPP harus berperanan dan bertanggungjawab dalam mempromosikan aspek penyuburan budaya kegembiraan, kebahagiaan, hormat-menghormati dan kemanusiaan melalui pelbagai program dan aktiviti supaya UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan.
Naib Canselor UMP, Prof.Ir. Dr.Wan Azhar Wan Yusoff menyarankan agar proses pembentukan pasukan dan sinergi organisasi MPP segera dilaksanakan. Kepimpinanan MPP ini mempunyai peranan besar dalam era transisi untuk meluaskan worldview mahasiswa UMP supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam soal pengurusan diri.
“Dengan kematangan yang mendasari kepimpinan mereka, maka MPP merupakan satu training ground for statesmanship yang mana barisan kepimpinan ini perlu belajar untuk bertanggungjawab (accountable) terhadap sebarang keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil,” ujarnya yang berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan MPP Sesi 2019/2020 bertempat di Bilik Mesyuarat Senat,UMP Pekan. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar & Alumni) Prof. Dato Ts.Dr. Yusserie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi),Prof. Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.
Selain itu, dengan mewujudkan pasukan pemimpin yang mantap membolehkan tanggungjawab kepimpinan dapat ditunaikan dengan lebih berkesan tanpa perasaan prejudis dan curiga. Apa yang lebih penting keupayaan MPP berperanan sebagai suara mahasiswa secara profesional tanpa dipengaruhi sebarang sentimen negatif sama ada dari dalam atau luar kampus dan kematangan kepimpinan MPP berinteraksi dengan pihak pengurusan melalui rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan.
Prof. Ir. Ts. Dr. Wan Azhar juga menasihatkan kepimpinan MPP juga perlu berusaha keras untuk memupuk kesedaran muhibah dan perpaduan yang tinggi dan mendalam dalam kalangan mahasiswa berbilang kaum, agama dan negara demi kesejahteraan pengalaman kampus mereka di sini.
Pihak universiti mengucapkan tahniah kepada urus setia mahasiswa yang diketuai oleh mahasiswa Fakulti Komputeran UMP, Mohamed Al Fateh Ab Razak dan Adam Jawhari Bin Jawahir serta pasukan atas keupayaan menguruskan pemilihan MPP kali ini dengan lancar, teratur dan tenteram tanpa sebarang masalah atau kejadian yang serius. Kejayaan eksperimen tersebut memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk terus mengekalkan penglibatan mahasiswa semaksimum mungkin dalam urusan pemilihan MPP yang akan datang.
UMP turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Zakwan Zulkifli, mantan Yang Dipertua dan kabinet MPP Sesi 2018/2019 atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah diberikan penggal kepimpinan mereka. Majlis menyaksikan Yang Dipertua MPP UMP 2019/2020, Mohd Fitri Zulkaffli mengetuai acara mengangkat sumpah jawatan MPP dan menandatangani dokumen disertai seramai 42 perwakilan termasuklah Timbalan Yang di-Pertua Pekan, Muhammad Syahiruddin Mohd Sabri, Timbalan Yang di-Pertua Gambang, Che Muhammad Harith Ab Halim dan Setiausaha Agung, Nurul Ishafira Ismail.
Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 166 views