Skip to main content

Penerbit UMP terbit kamus kompetensi pertama di Malaysia

PUTRAJAYA, 6 Januari 2022 - Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini telah mengadakan pertemuan ringkas dengan Timbalan Pengarah, Bahagian Perkhidmatan, Cawangan Dasar dan Perundingan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Norhartaty Rahman di pejabatnyanya.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri itu bertujuan membina hubungan kerjasama berkenaan korpus pengetahuan kompetensi perkhidmatan awam.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan Kamus Kompetensi AKEPT-UMP terbitan terkini Penerbit UMP, hasil kolaborasi kepakaran antara UMP dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT). 

Pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu antara lain mengetengahkan pelbagai isu berhubung agenda kompetensi dan pelaksanaannya dalam meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, khususnya dalam mengharungi cabaran semasa serta mencari solusi terbaik mengurus prestasi pekerja. 

Menurut Puan Norhartaty, penerbitan Kamus Kompetensi ini sangat bertepatan dengan agenda Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang sedang melaksanakan sistem pengurusan prestasi berasaskan fungsi jabatan yang dikenali sebagai MyPerformance di seluruh jabatan kerajaan bermula tahun 2022. 

“Pengurusan prestasi berasaskan kompetensi semakin luas penerimaannya termasuklah dalam kalangan agensi badan berkanun seperti universiti. 

“Ia merupakan perkembangan positif ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan awam,” ujarnya. 

Manakala menurut Muhammad Azli pula, pertemuan itu memberi banyak manfaat, terutamanya berkenaan pengetahuan dalam membangunkan kamus kompetensi yang lebih komprehensif dan holistik agar menjadi rujukan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk mengurus serta meningkatkan prestasi sumber manusia sedia ada. 

“Penerbitan kamus ini adalah sebahagian daripada inisiatif Inspirasi Magnum Opus (Maha Karya), iaitu strategi penerbitan berimpak tinggi yang berupaya memberi perubahan kepada komuniti dan negara. 

“Kamus ini juga merupakan kamus kompetensi pertama di Malaysia yang diterbitkan di  dalam bahasa Melayu.
“Sudah sampai masanya sistem pengurusan prestasi sektor awam menekankan faktor merit melalui aspirasi dan naratif kompetensi yang menyeluruh. 

“Agenda ini haruslah menjadi visi nasional demi meningkatkan produktiviti,” katanya. 

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada para penyusun kamus iaitu Ismie Roha Mohamed Jais, Allahyarham Mohamad Rozi Hassan, Haryani Abdullah, Muhammad Ashraf Fauzi, Muhamad Tasyrif Ghazali, Azian Mohmad Azman, Mohd Izzat Shafie@Mohd Alias dan Siti Sakinah Mohtar.  

Kamus Kompetensi AKEPT-UMP setebal 400 muka surat itu memakan masa hampir dua tahun untuk diterbikan. 

Antara keistimewaan kamus itu ialah ia mengandungi 21 kluster kompetensi fungsian, 212 entri kompetensi yang terdiri daripada kompetensi teras dan fungsian, penerangan dan panduan yang jelas serta mudah serta sebagai rujukan dalam proses memprofil dan penilaian kompetensi.

Selain itu juga ia turut merangkumi kompetensi umum untuk semua keluarga pekerjaan yang melibatkan kemahiran, pengetahuan dan kebolehan dalam sesebuah universiti atau agensi.

Malah, pembangunan kamus ini juga melibatkan pelbagai pihak termasuk industri, mengandungi definisi, huraian dan penjelasan kompetensi, skala kompetensi serta indikator tingkah laku.

Ia juga mengandungi lima tahap penguasaan kompetensi dan 19 entri kompetensi kepimpinan.

Kamus yang dijual dengan harga promosi RM160 ini boleh didapati di Kedai Shopee Penerbit UMP atau boleh menghubungi Pegawai Pemasaran, Noraini Husain di talian 017-356 2566.
 

Disediakan oleh: Athirah Ruzaini dan Safriza Baharuddin, Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Reports by:
Safriza binti Baharuddin