Skip to main content
Penerbit UMP teroka segmen Educomic

Penerbit UMP teroka segmen Educomic

Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) buat julung kalinya mencipta sejarah apabila berjaya menerbitkan educomic pertamanya berjudul ‘UMP Comic Series: Survival Statics’ hasil pasukan Mekanika dan Ariff AV.

Pasukan itu diketuai oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif  (FTKMA), Dr. Luqman Hakim Ahmad Shah. 

‘Survival Statics’ ialah sebuah komik berteraskan subjek ilmiah yang diadun dengan penceritaan yang sangat menarik untuk dibaca sekali gus dapat memahami kaedah berkenaan Statics dengan mudah.

Negara-negara  maju seperti Korea, Jepun dan Amerika Syarikat telah sekian lama menggunakan komik sebagai alat dalam sistem pendidikan mereka. 

Di Korea terdapat banyak komik yang berteraskan subjek ilmiah, malah ada yang sudah diterjemahkan untuk pasaran di Malaysia seperti komik ‘Oh Senangnya Sains Kimia bersama Dao dan Bazzi’  (Shin Jae Hwan et al. 2014). 

Manakala di Jepun pula cukup terkenal dengan buku rujukan ilmiah yang menggunakan pendekatan manga (komik). 

Penerbit UMP teroka segmen Educomic

Menurut Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri, penerbitan komik ilmiah seperti ini merupakan langkah awal Penerbit UMP meneroka segmen educomic dalam penerbitan karya ilmiah untuk bidang teknikal di peringkat pengajian tinggi. 

“Kini, sudah sampai masanya penerbit universiti di negara ini, khususnya dalam kluster Sains dan Teknologi membuat pelaburan dan mencipta peluang dalam industri kreatif yang semakin berkembang, bahkan merintis kolaborasi strategi antara penerbit, ahli akdemik dan penggiat seni dalam menghasilkan karya ilmiah yang lebih segar dan kontemporari. 

“Komik ialah alat pencetus sifat inkuiri kepada pembaca dan ia telah terbukti berkesan sebagai medium penyebaran ilmu di negara-negara maju.

“Komik setebal 75 muka surat ini dijual dengan harga RM30 senaskhah,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, selain daripada isi utamanya ialah komik, terdapat juga nota penerangan tambahan berkenaan topik yang disentuh dalam setiap bab. 

“Yang lebih menarik, terdapat Kod QR untuk diimbas sekali gus membawa pembaca  kepada video penerangan lanjut topik berkenaan agar lebih mudah difahami. 

“Terdapat tiga bab di dalam siri pertama komik ini iaitu, Introduction to Statics, Vector Analysis, Free Body Diagrams and Problem Analysis dan Moment of Force,” katanya. 

Menurut Ketua Projek ‘Educomic Survival Statics’ Dr. Luqman Hakim, hasrat untuk melihat komik ilmiah seperti ini sudah lama tertanam di sanubarinya. 

“Projek dan percubaan pertama bersama Penerbit UMP pada tahun 2015 untuk melahirkan komik ilmiah berjaya direalisasikan melalui penerbitan modul separa komik berjudul ‘Easy Step by Step Guide to Shear Force Bending Moment Diagrams Analysis’. 

“Idea untuk menerbitkan komik ilmiah tercetus sewaktu pengalaman belajar di Jepun pada 2004. 

“Belajar di sana sangat mencabar kerana semua subjek diajar di dalam bahasa Jepun. 

“Nasib baik, bidang Kejuruteraan banyak menggunakan nombor dan persamaan, bukan ayat yang berjela-jela,” katanya. 

Jelas beliau lagi, pada ketika itu, seorang rakan Jepun telah memperkenalkan kepadanya sebuah buku rujukan tambahan fizik yang sangat menarik dengan pelbagai gambar dan penjelasan yang mudah.

“Saya sangat teruja kerana inilah pertama kali saya benar-benar menikmati pembacaan buku peringkat universiti. 

“Saya menyedari banyak buku yang seumpama itu di kedai buku tempatan dan penjelasannya mudah difahami serta menarik untuk dibaca kerana menggunakan grafik, karikatur, analogi dan kata-kata mudah. 

“Ini termasuklah siri buku yang sangat saya suka bertajuk ‘The Manga Introduction to ... ',.

“Buku ini menggunakan format komik sepenuhnya untuk menjelaskan subjek pengajian tinggi seperti ‘Fourier Analysis and Statistics’.

“Saya mendapat banyak faedah daripada membaca komik-komik ini untuk memahami dan menghayati lebih banyak subjek yang diajar di dalam kelas,” katanya. 

Komik seperti ini katanya telah banyak membantu pembelajaran saya sehingga ke peringkat PhD. 

“Inilah idea asas untuk pasukan saya menghasilkan komik ‘Survival Statics.

“Survival Statics mengisahkan lima pelajar universiti yang bernama Mohan, Lam, Ash, Jason dan Is yang berada dalam kesempitan wang. 

“Hal ini memaksa mereka untuk menyertai satu program yang menawarkan ganjaran lumayan wang tunai RM1 juta yang dikenali sebagai ‘Survival Statics’. 

“Dalam tempoh tiga hari, mereka dikehendaki mengharungi dan menyelesaikan beberapa cabaran berkaitan statics di sebuah pulau terpencil,” ujarnya. 

Mahu atau tidak, mereka terpaksa bersatu dan menggunakan segala pengetahuan yang ada untuk keluar dengan selamat dari pulau tersebut serta membongkar identiti pihak penganjur yang diselubungi misteri itu. 

Mampukah mereka melepasi ujian demi ujian yang terdapat di pulau berkenaan dan siapakah penganjur misteri itu? 

Ikuti kisah mereka di dalam komik ‘Survival Statics Part 1’, terbitan terkini Penerbit UMP. 

Disediakan oleh: Athirah Ruzaini, Penerbit UMP

    

Reports by:
Admin UMP News