Penguasaan bahasa Arab dengan EL RESALA.ARABIC di UMP
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berupaya mewujudkan persekitaran realistik yang interaktif dan menyeronokkan. Menerusi ICT, pelajar mampu menjana pembinaan daya kreativiti dan inovasi, selain cekap menggunakan teknologi untuk mengakses maklumat daripada pelbagai sumber sejajar perkembangan global berasaskan e-pembelajaran.
Rentetan itu, pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab telah mengikut arus semasa dengan adanya platform pembelajaran secara dalam talian. Laman sesawang bernama EL RESALA.ARABIC merupakan laman interaktif yang menyediakan paparan nota interaktif yang menggunakan visual 3D. Penyediaan paparan nota yang berbentuk visual 3D merupakan kaedah pembelajaran secara visual yang memudahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa kejuruteraan.
Suasana PdP juga menjadi lebih menarik melalui penggunaan laman sesawang ini kerana dengan adanya nota interaktif yang berbentuk seperti audio, video, teks, grafik dan animasi, ia mampu meningkatkan tahap kemahiran mengingat dan berkomunikasi dalam Bahasa Arab. Material ini dapat digunakan sebagai bahan tambahan kepada buku modul manakala elemen multimedia yang digunakan terbukti mampu meningkatkan motivasi dan kecenderungan untuk belajar bahasa indah ini.
Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), pelajar yang mengikuti kelas bahasa Arab (Arabic for Beginners) bersama saya, Rosjuliana Hidayu Rosli akan diperkenalkan kepada laman sesawang ini bagi memudahkan sesi pembelajaran bahasa ketiga ini. Bukan sahaja laman sesawang malah buku modul yang lengkap dengan latihan bertulis turut digunakan bagi meningkatkan kemahiran menulis dalam bahasa Arab. Penguasaan pelajar boleh dipertingkatkan dengan mengintegrasikan ICT dalam P&P seperti penggunaan laman sesawang interaktif bercirikan multimedia yang memaparkan kandungan pelajaran. Pelajar bukan saja mampu mencatatkan markah tinggi dalam peperiksaan, malah tahap pemahaman dan penghayatan mereka juga lebih kukuh. Contohnya, kuiz atau latihan secara dalam talian dapat membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam subjek bahasa Arab kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Di samping itu juga, pelajar dapat mengukur pencapaian mereka dengan mudah manakala pengajar pula boleh memantau dan menganalisis tahap pencapaian pelajar. Melalui penggunaan sistem Penilaian Pengajaran Online, pengajar juga dapat mengetahui pencapaian masing-masing, sekali gus membantu mereka memperbaiki cara penyampaian.
Bagi pelajar kejuruteraan yang berkonsepkan hands-on, tahap pelaksanaan pengajaran perlu berbeza dari pengajaran dan pembelajaran secara tradisional iaitu secara teori. Teknik pembelajaran dan pengajaran bahasa Arab perlu mengikut rentak dan arus zaman. Dengan mempelbagaikan teknik dan kaedah terkini iaitu dengan mengaplikasikan elemen teknologi pasti dapat menimbulkan aura positif dalam kalangan pelajar.
Laman sesawang EL RESALA.ARABIC ini emperkenalkan teknik pantas dalam memperoleh kalimah atau kosa kata bahasa Arab. Terdapat kod tertentu yang telah dicipta khas bagi pelajar-pelajar untuk mengikut bab yang dipelajari mengikut minggu pengajian. Perencanaan pembelajaran bahasa Arab ini konsisten dan pelajar mendapat informasi yang lebih tepat dan mudah. Pelajar juga digalakkan untuk mengikut sebutan suara yang diperdengarkan melalui audio di dalam laman sesawang dan ini secara tidak langsung dapat memupuk kemahiran bertutur dalam kalangan pelajar.
Kemahiran berbahasa Arab boleh dilaksanakan dengan beberapa strategi iaitu keyakinan diri, minat dan sikap yang positif bagi meningkatkan kebolehan pelajar. Pelajar-pelajar yang berjaya ialah mereka yang bijak menggunakan pelbagai strategi bagi meningkatkan kemahiran bertutur bahasa Arab. Tanpa strategi tertentu, objektif penguasaan terhadap bahasa ini tidak akan tercapai.
Pembelajaran di Malaysia lebih menekankan kepada penguasaan empat kemahiran berbahasa. Antaranya ialah kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan juga menulis. Dengan pelaksanaan tiga strategi yang diperkenalkan di dalam EL RESALA.ARABIC ini secara tidak langsung memudahkan pelajar mempelajari bahasa Arab. Suasana bosan tidak akan wujud dengan pelaksanaan komunikasi dua hala dan penggunaan laman sesawang yang terkini dan mesra pengguna. Pelajar-pelajar dapat mengakses web ini di mana-mana sahaja dan secara langsung dapat meningkatkan minat mereka di dalam pembelajaran bahasa Arab.
Teknik ini juga mampu memperkasakan bahasa Arab dalam kalangan kelompok pelajar yang mengambil jurusan teknikal dan kejuruteraan kerana elemen teknologi dan segala maklumat dapat diperoleh secara pantas dan mudah diingati. Pelajar dapat lebih fokus ketika sesi pembelajaran bahasa Arab, sekali gus dengan penggunaan telefon pintar, pelajar-pelajar akan menggunakannya sebaik mungkin ketika sesi pembelajaran bahasa Arab di UMP.
Para pelajar bahasa Arab yang hadir di makmal bahasa tidak dapat membuka aplikasi lain selain dari aplikasi imbasan kod tindak balas cepat Kod QR kerana segala informasi berkaitan tajuk bahasa Arab diperoleh melalui imbasan kod dan perlu dimuat turun di dalam telefon pintar. Teknik ini merupakan satu transformasi di dalam pendidikan bahasa Arab menerusi teknologi yang terkini.
Sewajarnya kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab perlu senada mengikut rentak dan arus peredaran masa agar bahasa anbiya’ ini akan terus berkembang dan dapat dipelajari dengan mudah dan juga berkesan kepada semua lapisan umur.
Penulis ialah Guru Bahasa Kanan di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Oleh: Rosjuliana Hidayu Rosli
e-mel: rosjuliana@ump.edu.my
- 461 views