Skip to main content

Pensyarah UMPSA sertai Program CSR Karnival Teknologi 2024

KUALA LIPIS, 13 Jun 2024 – Pensyarah dan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama-sama turun padang bagi menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Karnival Teknologi 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau, Kuala Lipis.

Menurut ketua program yang juga Pensyarah FTKMA, Profesor Madya Ir. Dr. Asnul Hadi Ahmad, program anjuran bersama Yayasan Pahang (YP), The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang itu telah disertai sembilan orang pensyarah dan empat orang pelajar pascasiswazah FTKMA. 

“Program bertujuan memberi pendedahan berkaitan program-program kejuruteraan dan teknologi yang ditawarkan UMPSA kepada para pelajar sekolah yang kebanyakannya dalam kalangan orang asli. 

“Para pensyarah yang terdiri daripada Manufacturing Technology Focus Group (MTG) telah membuat demonstrasi berkenaan cara pemasangan perkakasan robotik, projek asas kejuruteraan dan taklimat mengenai kerjaya berkaitan kejuruteraan dan teknologi.

csr

“Selain itu, kami juga memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan teknologi berkaitan robotik, dron dan solar,” katanya. 

Beliau berharap program sebegini dapat memupuk minat terutamanya dalam kalangan pelajar orang asli bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi. 

Program selama dua hari yang bermula pada 12 Jun itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang (YP), Haji Abdul Razak Abu Musa Shaari dan Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa

Disediakan Oleh: Profesor Madya Ir. Dr. Asnul Hadi Ahmad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dan Automotif (FTKMA)

 

Reports by:
Admin UMP News