Skip to main content

Pentadbir Muda UMPSA perkukuh kepimpinan Madani di Program KARISMA AKEPT

BANDAR ENSTEK, 14 Julai 2025 – Seramai lima pentadbir muda dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program KARISMA Pemimpin Muda MADANI (Pentadbir Muda IPT) yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Julai 2025 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Mereka adalah Muhammad Zufli Zuhari dari Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti, Muhammad Hakim Abu dari Pusat Pemasaran dan Kemasukan, Nor Fadzillah Zulkipli dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Jasmira Abdul Jalil dari Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, dan Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid dari Pusat Sejahtera.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menghimpunkan seramai 130 peserta daripada 20 universiti awam (UA) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), yang merupakan alumni kepada Program KARISMA Pemikir MADANI. 

Sepanjang tempoh penganjuran, peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian berimpak tinggi merangkumi latihan kepimpinan, wacana nilai MADANI, aktiviti kerohanian, serta sesi libat urus bersama tokoh-tokoh utama pentadbiran dan akademik negara.

Antara sesi berprestij termasuklah ceramah oleh Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Aldrin Abdullah bertajuk ‘Tak Semua Boleh Memimpin! Anda Punya Potensi?’. 

Program turut menyaksikan pembentangan daripada Pensyarah USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad bertajuk ‘Kepimpinan Berasaskan Minda’ dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato’ Profesor Dr. Md Amin Md Taff bertajuk ‘Pengurusan Krisis dalam IPT’. 

Selain itu, program turut menampilkan sesi kerohanian dan bina sahsiah sebagai nilai tambah dalam pembentukan jati diri pentadbir muda.

Kemuncak program adalah sesi dialog bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menjadi platform kepada peserta untuk mengemukakan idea dan cadangan ke arah penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara. 

Pentadbir Muda UMPSA perkukuh kepimpinan Madani di Program KARISMA AKEPT

Dalam sesi tersebut, para peserta turut mencadangkan penubuhan ‘Konvensyen Pentadbir Muda Peringkat Antarabangsa’ dan ‘Penerbitan Jurnal Pentadbir’ sebagai wadah strategik dalam memperkasa peranan pentadbir muda pada peringkat global.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry yang menyifatkannya sebagai manifestasi pemikiran progresif generasi pentadbir muda yang berwawasan. 

Menurut beliau, penganjuran konvensyen berskala antarabangsa berpotensi mewujudkan kerjasama strategik antara pentadbir IPT tempatan dan luar negara, selain jurnal pentadbiran pula boleh menjadi ruang intelektual dalam mendokumentasikan amalan terbaik, kajian kes dan idea inovatif dalam pengurusan IPT.

“Inilah sebabnya saya perlu sentiasa dikelilingi oleh golongan muda yang berfikiran segar dan progresif. 

“Cadangan-cadangan seperti ini wajar diangkat sebagai inisiatif nasional,” ujar beliau ketika memberikan maklum balas terhadap cadangan peserta.

Malah, beliau juga turut mengarahkan agar Bahagian Dasar KPT yang diterajui oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian supaya meneliti dan mempertimbangkan cadangan tersebut untuk tindakan susulan.

Turut hadir sepanjang program ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan AKEPT, Profesor Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, serta Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu.

Menurut salah seorang wakil dari UMPSA, Muhammad Zufli, penyertaan pentadbir muda UMPSA dalam program berprestij ini membuktikan komitmen universiti dalam membangunkan bakat kepimpinan sektor pentadbiran yang profesional, berdaya saing serta mendokong nilai MADANI dalam landskap pendidikan tinggi negara dan antarabangsa.

“Semoga penyertaan seperti ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang sebagai platform pembangunan kepimpinan strategik, selain membuka ruang kerjasama rentas institusi yang dapat memperkukuh tadbir urus, inovasi pentadbiran dan kecemerlangan perkhidmatan pendidikan tinggi negara,” katanya. 

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri