Persatuan Wanita UMP (Matahari) sumbang RM9,000 untuk Iftar Ramadan
PAYA BESAR, 19 April 2021 - Persatuan Wanita UMP (Matahari) baru-baru ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM9,000 kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Yayasan UMP bagi Program Iftar Ramadan yang menyediakan juadah berbuka puasa kepada pelajar UMP setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Sumbangan disampaikan oleh Presiden Matahari, Datin Dr. Mazita Mokhtar kepada Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas.
Hadir sama Pegawai Hal Ehwal Islam PIMPIN, Ustaz Md Abdu Sahak, Bendahari Matahari, Hajah Siti Aishah Ghani dan Penolong Bendahari Matahari, Ts. Hairusnisa Osman.
Profesor Madya Dr. Rashidi mengucapkan terima kasih kepada pihak persatuan atas sumbangan dan keprihatinan terhadap usaha universiti dalam membantu kebajikan pelajar.
Ujarnya, hampir saban tahun, PIMPIN melaksanakan program Iftar Ramadan iaitu pemberian juadah berbuka puasa yang diberikan secara percuma kepada pelajar.
“Program ini dapat dijayakan dengan hasil sumbangan warga UMP dan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbanganan.
“Jika sebelum ini staf UMP akan bergotong-royong menyediakan juadah tersebut dan pelajar akan menikmati juadah beramai-ramai dengan berkongsi talam namun dengan norma baharu bagi mengekang penularan Covid- 19, aktiviti penyediaan makanan ini disediakan oleh pembekal yang telah dilantik dan disediakan secara dalam bungkusan,” katanya.
Tambah beliau lagi, setiap hari, sebanyak 1,200 bungkusan makanan disediakan di UMP Kampus Gambang dan Pekan.
“Sesi agihan bermula seawal jam 5.30 petang bagi membolehkan pelajar menikmati juadah berbuka puasa di bilik masing-masing,” ujarnya.
Manakala menurut Datin Dr. Mazita pula, bagi pihak persatuan, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif dalam berkongsi rezeki untuk membantu dan menyokong usaha pihak universiti.
“Sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan pihak UMP dalam menyediakan juadah berbuka puasa kepada pelajar UMP menerusi Program Iftar Ramadan.
“Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar namun diharapkan ia dapat membantu usaha murni universiti ini.
“Saya yakin dengan kerjasama persatuan-persatuan di UMP, ia dapat membantu universiti merealisasikan lebih banyak aktiviti yang bukan sahaja dapat membantu warga UMP malah dapat menyantuni masyarakat setempat,” ujarnya.
Sehingga kini, Matahari telah disertai hampir 250 staf wanita UMP dan isteri-isteri staf.
Dalam pada itu, menjelang hari raya nanti, pihak persatuan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP akan mengadakan program Pasar Baju Terpakai untuk pelajar atau masyarakat setempat yang memerlukan.
Pihaknya masih dalam usaha mengumpul pakaian yang bersesuaian untuk program tersebut dan turut mengalu-alukan pelajar dan staf yang memerlukan agar tidak melepaskan peluang untuk menerima manfaat dalam program ini.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 103 views