Skip to main content

Persidangan Antarabangsa RiTA fokus penyelidikan teknologi aplikasi robot  masa depan

Putrajaya, 20 Disember – Penganjuran persidangan 6th International Conference on Robot Intelligence Technology and Applications (RiTA) yang bertemakan “Robotics and Machine Intelligence: Building Blocks for Industry 4.0" berjaya mengumpul lebih 60 penyertaan termasuk penyertaan dalam dan luar negara. 

Penyertaan ini terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar,  pakar dan pengamal industri bagi memfokuskan mengenai penyelidikan dalam bidang penyelidikan teknologi kecerdasan robot. Penyertaan antarabangsa membabitkan dari negara  Korea, Jepun, Portugal, Australia, Singapura,  India, Norway, Columbia, Netherlands dan United Kingdom. 

Hadir merasmikan persidangan adalah Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail, Ketua Pengerusi Kehormat RITA, Prof. Dr. Jong-Hwan Kim dan Pengerusi bersama RITA, Prof  Dr. Hyun Myung dan Prof Dr. Zahari Taha.

Menurut Prof. Dr. Jamil Ismail, persidangan dapat mengumpulkan pakar berkaitan teknologi robotik. Dengan pemberian geran dan inisiatif lain yang diberikan oleh pihak kerajaan juga dapat mengalakkan universiti dan industri untuk berkongsi kepakaran dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang robotik. Di samping itu, inisiatif ini juga bakal mewujudkan persekitaran yang kondusif  dalam mendepani industri 4.0.

“Persidangan ini juga sebagai landasan khususnya Malaysia untuk merevolusikan industri ini ke arah penggunaan teknologi industri 4.0 yang akan didorong oleh persekitaran yang pintar, saling berkait antara satu sama lain. Manakala robotik dan automasi akan menyumbang terhadap perkembangan dalam industri,” katanya.

Selain itu, objektif persidangan ini dapat membantu universiti dalam mempromosikan teknologi industri 4.0 kepada komuniti serta membangunkan teknologi baharu melalui kerjasama dengan rakan kongsi industri. 

Dalam pada itu, sebanyak 80 kertas kerja telah dibentangkan bagi membincangkan isu-isu khas berkaitan penyelidikan robotik bertemakan  kecergasan kognitif, sosial dan kolektif. Di antara yang hadir menyampaikan ucaptama adalah Prof. Dr. Junmo Kim yang merupakan Pengarah Statistical Inference and Information Theory Laboratory KAIST dan Prof. Madya Marcelo H Ang Jr dari National University of Singapore.

Persidangan dianjurkan oleh Makmal Innovative Manufacturing, Mechatronics and Sports (iMAMSLab) di bawah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dengan kerjasama pihak Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST). Ianya turut mendapat tajaan dan sokongan daripada Korea Robotics Society (KROS), UMP Holdings Sdn. Bhd., Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Malaysia (CREST), Springer, Silterra (Malaysia) Sdn Bhd, Malaysian Journal of Movement, Health and Exercise, MyDuino.com dan DZUKI Consultancy & Training.

Disediakan Siti Nurfarmy  Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim