Skip to main content
Prof. Ts. Dr. Kamal dilantik TNC Penyelidikan dan Inovasi

Prof. Ts. Dr. Kamal dilantik TNC Penyelidikan dan Inovasi

Kuantan, 1 April - Dekan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Prof. Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli,50, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP)  untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 Mac 2019 oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau yang berasal dari Pahang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Worcester Polytechnic Institute USA dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Perisian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum menyambung pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) Kejuruteraan Perisian di University Of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom pada tahun 2003.

Mempunyai pengalaman yang luas sebagai pensyarah, Prof. Ts. Dr. Kamal pernah berkhidmat di  Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum berkhidmat di UMP pada tahun 2012.

Dalam pada itu, Prof. Ts. Dr. Kamal juga pernah menyandang jawatan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) di universiti ini pada tahun 2013 sehingga tahun 2015 dan kemudiannya dilantik sebagai  Dekan FSKKP pada tahun 2016 hingga kini.

Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim mengucapkan tahniah di atas  pelantikan tersebut dan berharap Prof. Ts. Dr. Kamal  akan menggalas tanggungjawab mengetuai penyelidikan dan inovasi serta terus menyumbang kepada kesinambungan pencapaian ke arah kecemerlangan UMP. 

Dalam pada itu beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Profesor Dato` Dr. Mashitah   yang banyak menyumbang dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia.

 

"Semoga UMP akan terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa," katanya. 

UMP akan terus meneroka idea baharu untuk memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri