Skip to main content

Program Edutourism UMPSA tawar peluang belajar sambil melancong

KUANTAN, 13 Mei 2024– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan Program Edutourism menerusi pakej-pakej yang dirangka khusus dengan objektif untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya, bahasa serta keindahan tempat-tempat yang menarik khususnya di Negeri Pahang Darul Makmur dan Malaysia amnya.

Pelbagai pakej yang ditawarkan kepada pelajar antaranya seperti Pakej Nature and Adventure Package: A Thrilling Adventure In Taman Negara, Kuala Tahan Pahang dan Pakej Malay and Cultural Heritage.

Pada masa ini, seramai 24 pelajar antarabangsa termasuk pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Muhammadiyah, Indonesia (UNMUHA) telah mengikuti program bagi menikmati keindahan dan kebudayaan Malaysia khususnya negeri Pahang di samping mengikuti kuliah serta pendidikan di UMPSA berkaitan teknologi dan kejuruteraan.

Program Edutourism UMPSA tawar peluang belajar sambil melancong

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, program perintis ini disertai bukan sahaja daripada pelajar di universiti ini malah terbuka buat semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). 

“Pada kali ini, program disertai pelajar antarabangsa yang berasal dari Mesir, Acheh, Iraq, Pakistan, Somalia, Yaman, Bangladesh dan Palestin.

“Program pelancongan pendidikan (Edutourism) ini merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) di bawah Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 di bawah Teras 6A: Pengantarabangsaan Mahasiswa yang diselaraskan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) bersama jabatan lain yang berkaitan. 

“UMPSA yang terletak di negeri Pahang amat bertuah apabila dilengkapi kawasan tanah tinggi dengan udara menyegarkan, hutan rimba dengan flora dan fauna yang terpelihara, pantai-pantai dengan pemandangan yang mempesona dan banyak lagi,” ujarnya. 

Selain itu juga katanya, Pahang juga mempunyai tarikan lain seperti kebudayaan dan makanan masyarakat tempatan.

“Secara tidak langsung program ini turut memperkenalkan UMPSA kepada pelajar luar negara dengan penawaran pakej dan program yang dilihat mampu menonjolkan keunikan dan keistimewaan negeri Pahang.

“Di samping itu, para pelajar ini juga dapat merasai sesi pembelajaran di bilik kuliah dan makmal di UMPSA.

“Pihak UMPSA sentiasa mengalu-alukan  kumpulan pelajar antarabangsa yang teruja untuk meneroka keindahan negeri Pahang,” katanya.

Jelas beliau lagi, kehadiran pelajar dari pelbagai pelosok dunia ini bukan sahaja memperkayakan persekitaran akademik UMPSA malah dapat meningkatkan kepelbagaian budaya yang dihargai.

Bagi peserta program, Revira Avantika Sepriana dari Universitas Muhammadiah Aceh berkongsi kegembiraannya serta tiga rakan yang menyertai program ini.

Katanya, banyak pengalaman baharu sepanjang menyertai program ini, malahan mereka dapat menikmati keindahan flora dan fauna di Kuala Tahan. 

“Selain itu juga, kami turut berpeluang mengikuti pengajian dan melawat ke makmal-makmal yang canggih dan terkini yang terdapat di UMPSA,” katanya. 

Manakala Abdelrahman Moussa yang merupakan pelajar antarabangsa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, penyertaannya dalam aktiviti Night Global Culture Program Edutourism banyak memberi pengalaman baharu pada dirinya dan rakan-rakan terutama apabila mereka berpeluang menelusuri budaya Melayu menerusi hidangan makanan dan makan menggunakan tangan di rumah tradisional yang cantik di Panching Selatan.

“Selain itu, persembahan seni silat dan diiringi dengan alat muzik tradisional juga turut menarik minat saya. 

“Lebih menariknya peserta turut diajar menggunakan alat muzik gendang dan serunai.

“Pengalaman manis ini pastinya akan dikongsikan bersama rakan-rakan apabila pulang ke negara Mesir nanti,” katanya yang akan kembali meneruskan pengajian di UTM.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris