Program Juara empower ECER tingkat pencapaian pelajar sekolah
Kuantan, 2 Mei- Seramai 81 pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam tiga peperiksaan utama tahun lalu iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dirai dalam Majlis Kecemerlangan Akademik Juara empower ECER 2018 yang diadakan di Dewan Astaka UMP Gambang. Mereka terdiri daripada tiga orang pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, 15 orang pelajar mencapai keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan PT3 serta 26 orang pelajar cemerlang SPM.
Program Latihan Akademik Empower ECER yang dilaksanakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini melibatkan 22 sekolah luar bandar dalam melonjakkan prestasi akademik para pelajar di sekolah-sekolah sekitar Pekan dan Kuantan yang terpilih sebagai penerima manfaat daripada inisiatif ini.
Program ini dikendalikan secara bersama dengan kerjasama pihak UMP Advanced Education dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) sejak tahun 2011 bagi meningkatkan pembangunan akademik bagi anak-anak serta peningkatan pendapatan bagi golongan belia, ibu tunggal dan individu-individu sekitar daerah Pekan, Kuantan dan Bera terutamanya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Hadir menyampaikan hadiah dan sijil adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Fuziah Salleh yang juga Ahli Parlimen Kuantan. Turut hadir Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah Negeri Pahang ECERDC, Dato’ Hj Mohd. Mazlan Sharudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Prof. Madya Dr. Rashid Ab. Hamid dan Presiden Persatuan Wanita UMP, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Haji Tajuddin Mohd. Yunus, Penasihat Persatuan Wanita UMP, Datin Fazia Ali dan Pengurus Besar UMP Jabatan Sosio Ekonomi dan Projek Khas, UMP Advanced Education, Zainal Bahari.
Menurut Hajah Fuziah berkata, pihaknya berbangga dengan impak program empower ECER yang dilaksanakan ECERDC dalam meningkatkan kemahiran dan pendapatan peserta dewasa serta menghasilkan kecemerlangan akademik dalam kalangan peserta di Wilayah Pantai Timur.
"Dengan pencapaian cemerlang ini para pelajar diiktiraf sebagai Juara empower ECER yang diharap mampu menjadi contoh dan sumber inspirasi bagi pelajar serta program yang lain," katanya yang menasihatkan pelajar agar terus mencipta kejayaan pada masa depan.
Katanya, mengekalkan momentum adalah lebih sukar daripada usaha untuk mencapai ke suatu tahap. Oleh itu, masih banyak ruang untuk kita sama-sama mempertingkatkan usaha yang secara langsung jika dapat dilaksanakan akan memberi faedah positif kepada semua.
Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie berkata, kejayaan peserta yang mengikuti latihan tersebut berupaya merealisasikan aspirasi untuk terus berjaya pada masa akan datang.
“UMP menyedari kepentingan peranannya dalam membantu usaha kerajaan bagi mentransformasikan kesejateraan sosioekonomi rakyat melalui kepakaran dan keupayaan dalam aspek pembelajaran sepanjang hayat, latihan akademik dan teknologi,” katanya yang membacakan teks ucapan Naib Canselor UMP.
Selain itu, beliau percaya dengan kerjasama rapat semua agensi yang terlibat serta sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang, inisiatif ini mampu mentransformasi lanskap pendidikan dan sosio-ekonomi dalam kalangan penerima manfaat ini dalam jangka masa panjang.
Sehingga kini seramai 50,000 peserta daripada seluruh ECER menerima manfaat dalam program empower ECER. Malahan di negeri Pahang sahaja terdapat 37,491 peserta empower ECER merangkumi 28,361 peserta Latihan Akademik dan Keusahawanan.
- 254 views