Program Kembara UMPSA Prihatin dekati komuniti sebar luas pendidikan tinggi
TUARAN, 3 Mac 2024 - Program Kembara Prihatin Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang melibatkan 55 sukarelawan pelajar dan 15 staf dengan hampir 30 aktiviti yang dijalankan sejak 27 Februari lalu berjaya mendekatkan komuniti dengan universiti dan memberikan manfaat kepada masyarakat di Sabah.
Program Kembara Prihatin itu diadakan seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam pelbagai aspek kehidupan manusia dan alam sekitar menjelang tahun 2030.
Antaranya adalah mencapai matlamat SDGs seperti tiada kemiskinan, kelaparan sifar, peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan, serta tindakan iklim.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, melalui program juga dapat memanfaatkan kepakaran universiti dengan memindahkan teknologi kepada komuniti.
“Melalui kluster berfokus seperti teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kerohanian, kelestarian, dan bantuan, program ini memberikan impak yang signifikan kepada kehidupan penduduk setempat.
“UMPSA sebagai salah sebuah universiti teknologi dan dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) turut berkongsi kepakaran dalam projek teknologi cendawan nanas yang inovatif dan perkongsian penggunaan baja Prebiotik untuk kegunaan pertanian yang lebih lestari,” katanya.
Tambah beliau lagi, dalam program itu juga, UMPSA turut terlibat dalam pemasangan solar di tiga kawasan yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Melalui Program Pendidikan yang menjadi aspek utama, pelajar Sekolah Kebangsaan Pekan Tuaran menerima manfaat daripada program Motivasi Inspire, Street Science dan aktiviti STEM serta bantuan persekolahan sumbangan daripada penaja.
“Universiti berhasrat memperluas akses pendidikan tinggi di Sabah yang bakal membawa impak positif kepada pembangunan insan dan pemerkasaan masyarakat.
“Malahan UMPSA juga komited dalam memperluaskan akses penawaran program TVET dengan mewujudkan beberapa kampus pesisir bagi memberikan peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET ke tahap yang optimum,” ujarnya.
Ia adalah selari dengan seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar pihak MTUN memperkembangkan program TVET ke negeri-negeri di Borneo dan juga merealisasikan hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 yang telah dibangunkan oleh semua universiti di bawah MTUN.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie menghargai kerjasama rakan-rakan strategik yang menjayakan program itu iaitu Kerajaan Negeri Sabah, Tuaran Youth Town Club, Yayasan Prihatin Nasional, Raudhah Rizq, Samaiden, Dana Kita, UMPSA Holdings, UMPSA Advanced, Muslim Care Global, Kota Kinabalu Industrial Park, Mr. Solar, dan YADIM.
Katanya, melalui sokongan dan sumbangan mereka inilah, pihak universiti dapat meluaskan skop program, meningkatkan kualiti bantuan yang diberikan kepada komuniti, dan memberikan kesan yang lebih besar kepada masyarakat.
Program itu turut melibatkan Skuad Yayasan UMPSA dan pelajar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik Kota Kinabalu dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) yang berpeluang tinggal bersama keluarga angkat masing-masing bagi mengeratkan hubungan dengan penduduk Kampung Batangan, Kiwatu, Roun, Serusup, Selupoh, Dungang Baru dan Labuaya.
Hadir merasmikan program Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri sebagai wakil rasmi Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Yang Berbahagia Datuk Abdul Kassim Razali
Turut sama Pengerusi Tuaran Youth Town Club, Ghazali Hajiji merangkap Setiausaha Politik Kepada Menteri perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Teknologi Yayasan Sabah, Datuk Tah Nia Haji Jaman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMS, Profesor Madya Dr. Rahman Noordin dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Dullah Muluk.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Dato' Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Farrah Ain Madzlan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 142 views