Program Moh Sahur Pahang FM santuni Pelajar UMPSA
GAMBANG, 14 Mac 2025 - Sebanyak 400 pek makanan diedar dan pelbagai sumbangan makanan diterima oleh pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sempena program tahunan Moh Sahur yang masuk tahun keempat anjuran Pahang FM bersama para penaja bagi mendekati golongan yang memerlukan.
Hadir mengetuai konvoi Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah bersama delegasi yang disambut Pengerusi Majlis Pengetua Institusi Kefeloan UMPSA merangkap Pengetua Residen Pelajar (RP) 4, Nasrul Salim Pakheri, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit, Pengetua RP3, Rosjuliana Hidayu Rosli, barisan Kefeloan dan Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar (PEKA).
Turut sama hadir Pengarah RTM Pahang, Ariffin Awang.
Menurut Dato' Indera Mohd Shahar, selain beramah mesra, program ini bertujuan berkongsi rezeki dengan menyampaikan juadah sahur.
“Program ini bukan sahaja dapat memberi peluang untuk beramah mesra dengan pelajar UMPSA malah juga dapat memupuk keinsafan dan kesyukuran di dalam diri,” ujarnya.
Selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim, kunjungan itu juga bagi memaknakan bulan Ramadan dan mendekati pelajar bagi menyuntik semangat pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian.
Konvoi bergerak meninggalkan kampus pada jam 2.00 pagi sebelum singgah di Balai Polis Gambang untuk bersahur.
Program itu juga mendapat kerjasama pihak Bank Simpanan Nasional (BSN), DSH Hotel dan Hub Usahawan.
Manakala penyelarasan mendapat kerjasama pihak Pusat Komunikssi Korporat, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Majlis Perwakilan Pelajar, PEKA dan Bahagian Keselamatan UMPSA.
Sepanjang bulan Ramadan, pelbagai acara telah dirangka pihak UMPSA dan antaranya program bubur lambuk, Singgah Sahur, program Kenduri Rewang dan beberapa program lagi bersama pihak korporat dan agensi buat pelajar serta komuniti setempat.
Program Singgah Sahur UMPSA juga turut dilaksanakan setiap saban tahun menjelangnya Ramadan bagi mendekati universiti bersama masyarakat seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan mengangkat Agenda Kesukarelawan dalam kalangan warganya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 31 views