Program SciTech4U (STEM CAMP MOSTI 2024) dan Faculty@School, FTKPM tarik minat pelajar teroka bidang Teknologi
KUALA KRAI, 10 Jun 2024 - Program SciTech4U (STEM CAMP MOSTI 2024), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Jun 2024 bertempat di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Krai, Kelantan.
Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)Universiti itu ditaja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (MUAFAKAT).
Seramai 300 orang murid menyertai program itu bagi mendalami ilmu teknologi pembuatan dan mekatronik.
Menurut Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, FTKPM, Ts. Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid, pogram ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang teknologi pembuatan dan mekatronik serta menarik minat mereka untuk meneroka ilmu dalam bidang teknikal di UMPSA.
“Ini adalah usaha penting untuk memenuhi keperluan negara pada masa hadapan dengan menyediakan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknologi.
“Sepanjang dua hari program itu, para pelajar telah melalui enam modul menarik yang meliputi Shock Absorber, Rocket Launcher, Popsicle Bridge Stick, Arduino Smart Robot, Robot Coding dan AI Machine Vision.
“Modul-modul ini direka untuk memberikan pengalaman praktikal dan interaktif kepada pelajar yang berjaya mengekalkan minat mereka sepanjang program berlangsung,” ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, hasil dari enam modul yang telah dijalankan, para pelajar menunjukkan minat yang tinggi untuk meneroka lebih lanjut dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pada hari kedua program, pintu SciTech4U dibuka kepada jemputan luar, termasuklah pelajar sekolah rendah dari sekitar Kuala Krai.
“Ini memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk merasai sendiri pengalaman pembelajaran STEM yang ditawarkan oleh program ini.
“UMPSA sangat terbuka dan komited dalam mempromosikan bidang pendidikan STEM.
“Sebagai satu-satunya universiti teknikal yang menawarkan program TVET di Pantai Timur, pihak sekolah amat berbesar hati atas kunjungan pensyarah dan pelajar dari FTKPM ke tempat mereka dan memberi pendedahan berkaitan Sains dan Teknologi,” ujarnya.
FTKPM telah menghantar seramai 11 orang pensyarah dan staf serta 11 orang pelajar sebagai fasilitator bagi mengendalikan program ini.
Penganjuran program SciTech4U itu merupakan langkah proaktif MOSTI dalam mempromosikan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah, sekali gus menyokong agenda pembangunan negara ke arah industri berteknologi tinggi dan inovatif.
Malah, melalui program seperti ini ia diharapkan lebih ramai pelajar akan terinspirasi untuk menceburi bidang teknikal dan menyumbang kepada kemajuan teknologi negara di masa hadapan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 220 views