Skip to main content

Program STEM UMP Pupuk Minat Pelajar Sekolah Terhadap Sains Komunikasi

Pekan, 29 Oktober – Seiring dengan arus globalisasi yang bergerak kian pantas, perkembangan komunikasi kini dilihat dapat membantu dalam menyampaikan serta memahami penyampaian sesuatu maklumat itu dengan lebih tepat dan pantas.

Perkembangan komunikasi radio kini dapat dijadikan agen pendidik kepada para pelajar. Pendekatan menyampaikan maklumat, pendidikan dan hiburan dapat disifatkan sebagai komponen penting yang boleh memberi kesan mendalam kepada para pelajar dalam memahami penyampaian maklumat dengan lebih jelas.

Cakna terhadap scenario semasa ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) menganjurkan Pahang Fox Hunting 2018 yang berlangsung baru-baru ini melibatkan seramai 101 pelajar dari sembilan buah sekolah  sekitar negeri Pahang dan Terengganu termasuk Kuala Lumpur yang berlangsung di Makmal STEM UMP, Pekan.  

Program ini merupakan antara inisiatif yang dibangunkan di bawah Unit Pengembangan Inovasi FKEE bagi menarik minat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat, Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin merangkap pengarah program berkata, ianya bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai teknologi radio amatur di samping turut menerapkan unsur rekabentuk antenna dan teknik perembatan gelombang radio berfrekuensi tinggi. Program yang mendapat kerjasama daripada jurulatih tempatan dan juga peserta pertandingan radio amatuer peringkat dunia turut memberikan pendedahan serta perkongsian ilmu berkenaan dgn radio amateur.

“Para pelajar akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam mata pelajaran fizik secara khususnya iaitu gelombang dan elektromagnet. Di samping itu, dengan pengetahuan yang dipelajari ini, para pelajar boleh menyediakan alat komunikasi ini di rumah yang lebih dikenali sebagai Homebrew Radio System serta dapat menggunakan peralatan tersebut semasa berdepan bencana alam yang menyebabkan komunikasi telah terputus,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Nurul Wahida Mohammad Rosli berkata program ini mampu menarik minat para pelajar terutamanya dalam bidang Sains Komunikasi serta turut didedahkan dengan pertandingan Fox Hunting.

Hadir sama dalam majlis, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Pahang, Tuan Muhamad Nor Hamzah yang hadir menyampaikan sijil kepada pemenang. Turut sama, Ketua Unit Ko-Q, Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, Tuan Kamaludin Abd Latif.

Pertandingan Fox Hunting ini merupakan suatu pertandingan yang memerlukan pelajar mencari beacon (pemancar) yang telah ditetapkan di beberapa lokasi sekitar kampus UMP Pekan. Mereka perlu mencari lima beacon yang memancarkan isyarat Kod Morse dan mengenalpasti Kod Morse bagi menentukan check point. Pelajar yang berjaya melengkapkan pencarian beacon dalam masa yang ditetapkan dikira sebagai pemenang. Pertandingan menyaksikan Sekolah Kebangsaan Biram memenangi kategori sekolah rendah  manakala Regen International School memenangi kategori sekolah menengah.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim