Projek Pintar Yayasan UMP bantu 120 pelajar sekolah
PEKAN, 21 Mac 2023 - Projek Pintar Yayasan UMP yang melibatkan seramai 120 pelajar tahun 6 daripada 10 sekolah sekitar Pekan bakal meningkatkan keupayaan pelajar sekolah meningkatkan pemahaman, pengalaman dan pengetahuan yang lebih baik dalam menanamkan minat terhadap pembelajaran.
Program yang dirasmikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Sharmila Shaheen itu mendapat kerjasama pihak Pejabat Pendidikan Daerah Pekan (PPD) dan guru besar sekolah.
Menurut Datin Sharmila, program Projek Pintar Yaysasn UMP ini bertujuan untuk meningkatkan tahap pembelajaran melalui interaksi aktif antara murid sekolah dan seramai 45 mahasiswa UMP yang terdiri daripada fasilitator daripada skuad dan sukarelawan Yayasan UMP.
“Program ini juga merupakan salah satu medium yang sesuai untuk mahasiswa turun ke lapangan masyarakat dan memanfaatkan kehidupan di kampus.
“Ruang dan peluang ini perlu diisi oleh semua kelompok sama ada mahasiswa UMP mahupun pelajar sekolah.
“Di samping itu ia mampu bertukar idea, pengalaman, inovasi dan kreativiti dalam meningkatkan tahap pendidikan pelajar,” ujarnya dalam Majlis Pelancaran Projek Pintar Yayasan UMP 2023 yang berlangsung di Dewan Auditorium Perpustakaan, UMP Pekan.
Beliau berharap, semoga dengan termeterainya ikatan jalinan projek pintar ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak sekali gus dapat menjalinkan kerjasama yang erat dalam meningkatkan kecemerlangan bagi membangunkan potensi Mahasiswa UMP dan pelajar sekolah.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.
Disediakan oleh: Muhammad Zufli Bin Zuhairi, Yayasan UMP
- 149 views