Reno Skin Jenama Kulit Sensitif Ciptaan Mahasiswa UMP
Kuantan, 6 Mac - Meletakkan komitmen yang tinggi dalam apa jua tugasan yang diusahakan dan dilaksanakan memberikan semangat buat siswazah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nor Mahirah Mustapha,32 berjaya membuktikan kesibukan bergelar mahasiswa bukanlah penghalang baginya untuk menceburi dunia kecantikan khususnya buat mereka yang mengalami masalah kulit sensitif.
Siswazah Fakulti Pengurusan Industri (FIM) ini boleh berbangga dengan produk kecantikan yang dihasilkannya kini Reno Skin telah berada dalam pasaran dan terjual lebih 25 ribu unit sejak tahun 2016. Bidang keusahawan dalam kalangan mahasiswa kini tidak asing lagi malah ianya perlu diperluaskan serta boleh dimasukkan di dalam silibus pengajian bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang menceburi bidang perniagaan.
“Realiti dunia perniagaan yang mencabar akan membentuk mahasiswa yang lebih berdaya saing, berdikari serta lebih berani dalam mendepani risiko pada masa hadapan setelah menamatkan pengajian di universiti kelak. Mahasiswa kini tidak seharusnya mengharapkan peluang pekerjaan sebaliknya perlu mewujudkan peluang pekerjaan buat masyarakat,” ujarnya yang percaya bijak membahagikan masa di antara pengajian dan perniagaan.
Mengimbas kembali penglibatan awal dalam perniagaan ini, Nor Mahirah berkata ianya hasil dari penyelidikan yang telah diusahakan bersama suaminya, Shahid Ali ketika itu menuntut di UMP. Kini, suaminya juga merupakan siswazah yang sedang mengikuti pengajian kedoktoran (PhD) di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli.
Nor Mahirah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Cik Mira berkata, Reno Skin memfokuskan kepada pengguna yang mempunyai kulit yang sensitif yang mana produk ini berasaskan bahan semulajadi antaranya minyak kelapa dan beras (rice bran) yang dapat memanfaatkan kecantikan kulit agar lebih cerah, melembapkan dan menjaga nutrisi kulit.
Mengulas lanjut mengenai Reno Skin, faktor modal bagi tujuan pemasaran menjadi penghalang bagi memperluaskan serta memperkenalkan lagi jenama RenoSkin. Pada awalnya, Reno Skin telah berkembang hanya melalui medium pemasaran secara free cost. Kini beliau boleh berbangga apabila sudah mempunyai agen termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia malahan terus berharap produk ini dapat di eksport secara meluas dan menembusi pasaran antarabangsa.
Bagi yang ingin mendapatkan produk Reno Skin boleh menghubungi agen yang berada di seluruh Malaysia atau mengunjungi laman web ecommerce Lazada dan Shopee serta boleh melawat website www.renoskin.com.my untuk maklumat lanjut.
Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat
- 1112 views