Rushdi Gaafar Mahasiswa Antarabangsa Mahir Berbahasa Melayu
Kuala Terengganu, 20 Disember - Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, Rushdi Gaafar Ahmed Baragaa yang mahir berbahasa Melayu terpilih mewakili universiti dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang berlangsung baru-baru ini bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu.
Lebih membanggakan, percubaan buat kali pertama mahasiswa yang berasal dari Yaman ini telah memperoleh kedudukan ke-9 terbaik keseluruhan berbanding 27 orang peserta yang mengambil bahagian.
Menurut Rushdi Gaafar, beliau menyampaikan pidato bertajuk ‘Mahasiswa Kelas Pertama Menjana Kemajuan Negara’ yang bertanding dalam kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.
“Saya menyertai pertandingan ini kerana sangat minat bercakap dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mudah, indah dan struktur ayatnya senang dipelajari. Apabila saya fasih cakap bahasa Melayu, saya faham budaya di sini dan ianya sangat membantu saya semasa belajar di UMP, “ katanya.
Meskipun baharu empat tahun tinggal di Malaysia, Rushdi Gaafar berasa gembira kerana sudah mahir bertutur dan memahami bahasa Melayu.
Selain itu, mahasiswa ini juga sangat meminati makanan Melayu terutamanya Nasi Lemak dan Lontong. Malahan, disebabkan minat yang mendalam terhadap bahasa Melayu, Rushdi Gaafar ingin mencuba berpuisi atau berpantun di dalam bahasa Melayu pula.
Beliau amat berterima kasih para pensyarah, guru bahasa dan semua staf di UMP yang membantunya menguasai bahasa Melayu dengan baik. Pengalaman ini pastinya menjadi kenangan terindah sewaktu menamatkan pengajian kelak.
Di sediakan oleh Mohd Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat.
- 102 views