Saturday Night Live meriah di UMPSA Pekan
PEKAN, 11 Januari 2025 - Kelab Sigma Melody dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (BKKW), Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menjayakan program Saturday Night Live (SNL) di Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) UMPSA, Pekan dengan tema pakaian sarong.
Program itu menampilkan persembahan kumpulan muzik dan nyanyian daripada kumpulan yang bernaung di bawah Sigma Melody iaitu Presma Band, Aural Adrenaline dan Baraqah Beggers.
Menurut Presiden Kelab Sigma Melody merangkap Pengarah Program SNL yang juga pelajar Tahun 2, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Muhamad Shahrulniza Jafri, program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan mahasiswa dan staf UMPSA.
“SNL merupakan satu platform seni persembahan muzik daripada mahasiswa kepada mahasiswa untuk mempersembahkan bakat dalam bidang muzik dan nyanyian.
“Secara tidak langsung, SNL dapat memberi impak positif kepada mahasiswa terutamanya mengasah kemahiran dalam pengurusan majlis serta menjadi serampang dua mata dalam mempromosikan teras kebudayaan mahasiswa.
“Kami ingin merakamkan rasa syukur kepada rakan kolaborasi kami iaitu Perwakilan Kolej Kediaman 5 (PEKA5) dan juga semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran SNL ini,” ujarnya.
Katanya, SNL 2025 merupakan penganjuran kesembilan oleh kumpulan band UMPSA sejak tahun 2009.
“Oleh itu, saya berharap agar program ini dapat diteruskan lagi dan mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya dalam universiti sebagai salah satu pengisian program setiap semester daripada Kelab Sigma Melody,” jelas beliau.
Turut hadir Ketua Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (BKKW), Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK) UMPSA, Mohd Zaki Ahmad serta Felo Residen Pelajar 5, UMPSA Pekan, Mahdhir Yusof dan Mohd Khairol Hasharuddin Che Mohd Nasir.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Sukan dan Kebudayaan
- 60 views