Sesi libat urus UMP bersama pengamal media dan pegawai agensi di Negeri Pahang
KUANTAN, 21 April 2022 - Sesi libat urus Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama media dan agensi di negeri ini memberi peluang untuk berkolaborasi dalam menyampaikan hébahan dan maklumat kepada masyarakat.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin hadir bersama pengurusan universiti dalam program ini bagi beramah mesra dan membina hubungan yang baik antara pengurusan universiti bersama pengamal media yang juga turut melibatkan beberapa agensi di negeri ini.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie, majlis ini juga merupakan tanda terima kasih kepada para media atas liputan yang diberikan UMP sepanjang 20 tahun usia universiti ini.
“Sungguhpun sibuk dengan komitmen masing-masing, universiti sangat menghargai kehadiran pihak pengamal media dan pegawai agensi berkaitan untuk sama-sama berkongsi perkembangan universiti dan menikmati juadah berbuka puasa,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur Kuantan.
Hadir dalam program Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Hussin, Rozli Abdul Rani, pegawai daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Pengarah RTM Pahang, Ariffin Awang, Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKOMP), Zulkhairil Zainuddin, dan Ketua Biro Utusan (Pahang), Mohamad Shofi Mat Isa.
Bagi Dato Nik Naizi, pihaknya mengucapkan penghargaan terima kasih atas keprihatinan UMP yang turut menyumbang keperluan bantuan Yayasan UMP untuk meringankan beban pengamal media yang memerlukan.
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan, UMP turut memberi tumpuan terhadap agenda kesukarelawanan dengan komited menjalankan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan warga dan di pelbagai peringkat bagi merapatkan jurang antara masyarakat dan komuniti universiti sebagai satu proses memasyarakatkan universiti dalam membangunkan masyarakat setempat.
Selain itu, UMP giat menjalankan program kemasyarakatan yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global dan memberi tumpuan terhadap konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Universiti turut memainkan peranan yang besar dalam membantu negara mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat dan ia merangkumi usaha memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki boleh dipercayai, lestari dan mampan untuk semua terutamanya buat warga kampus.
Turut serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Majlis turut dihadiri pengamal media dan pegawai mewakili Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), MOTAC, Bernama, Berita Harian, Fikrah Pahang, China Press, Astro, Utusan, Kosmo dan UKOMP.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 111 views