Staf teknikal UMP hasilkan Video Tutorial bantu PdP
PEKAN, 12 Januari 2021 – Pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan penggunaan aplikasi dalam talian (online) sebagai norma baharu.
Situasi tersebut mencetuskan pelbagai idea kreatif tenaga pengajar untuk membantu pelajar agar mereka tidak ketinggalan.
Kelas dalam talian menggunakan ZOOM dan pembelajaran menggunakan platform Massive Open Online Courses (MOOC) menjadi pilihan utama.
Selain itu PdP dalam talian secara segerak turut dijalankan dengan menggunakan Microsoft Teams, Webex, Google Meet manakala pelaksanaan secara tidak segerak pula dilakukan menggunakan Microsoft PowerPoint, YouTube, Google Drive dan lain-lain bagi membantu melancarkan PdP.
Dalam usaha membantu para pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), baru-baru ini empat orang staf teknikal daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) berjaya menghasilkan 20 buah video tutorial penggunaan peralatan makmal bagi membantu pelajar.
Menurut Pegawai Sains Kanan, Ts. Hairunnisa Osman, idea penghasilan video tutorial ini tercetus apabila sistem pembelajaran kini banyak diadakan secara dalam talian.
“Pastinya pelajar memerlukan video sokongan untuk membantu mereka lebih memahami terutamanya dalam penggunaan peralatan di makmal.
“Kumpulan OSHTECH FSTI telah mengambil inisatif untuk menerbitkan video tutorial penggunaan peralatan makmal agar pembelajaran dapat dijalankan secara maya kepada pelajar dalam norma baharu ini,” katanya.
“Dengan adanya video tutorial penggunaan peralatan ini, pelajar dapat memahami teknikal penggunaan peralatan seiring dengan teori yang disampaikan oleh pensyarah.
“Justeru, pelajar boleh meneruskan proses pembelajaran bagi subjek teknikal mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, video tutorial ini mula dihasilkan ketika sesi pembelajaran secara bersemuka ditangguhkan dan digantikan dengan pembelajaran secara dalam talian.
“Penghasilan video ini adalah untuk menyokong aktiviti pembelajaran pelajar bagi kursus Exposure Measurement Technique and Analysis (EMTA) dan Industrial Hygiene (IH).
“Sehingga kini, sebanyak 20 buah video tutorial penggunaan peralatan makmal telah dihasilkan. Video tutorial ini dikongsi secara terus melalui Google Drive kepada pelajar semasa sesi kuliah dalam talian dan turut dimuat naik ke saluran YouTube FSTI iaitu FISTUMPTV.
“Video ini juga sesuai ditonton oleh semua pelajar jurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) serta individu yang terlibat dalam mengendalikan peralatan OSH untuk tujuan kompetensi,” katanya.
Semua proses rakaman video tutorial dibuat di Makmal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, FSTI.
Jelas beliau lagi berkaitan pengalaman sepanjang pembikinan video ini, terdapat beberapa cabaran perlu ditempuhi.
“Paling utama ialah pengendalian peralatan video untuk sesi rakaman dan juga kemahiran suntingan video memandangkan kebanyakan staf teknikal ini masih belum mahir dalam proses penghasilan video.
“Namun, kami berharap agar video tutorial yang dihasilkan akan memberikan kefahaman yang baik berkaitan pengendalian peralatan khususnya kepada pelajar OSH UMP dan seterusnya dapat mempromosikan kelengkapan makmal OSH UMP kepada umum,” katanya.
Penghasilan video ini turut dihasilkan bersama tiga orang lagi rakannya yang terdiri daripada dua orang Pegawai Sains, Mimi Nabila Mohd Noordin dan Ikram Safiee serta Penolong Pegawai Sains, Mohamad Hafizi Che Mat.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 218 views