Skip to main content

Terokai dunia penyiaran dalam Kembara Ilmu

Kuantan, 15 Januari – Dalam usaha memperkukuh terhadap penjenamaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pejabat Naib Canselor bersama delegasi seramai 40 orang staf dan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Kembara Ilmu dengan berkunjung ke Stesen Penyiaran TV AlHijrah baru-baru ini.

Program bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan hubungan baik dengan stesyen TV di Malaysia selain meneroka peluang dalam mempromosikan universiti memandangkan peranan media ini penting sebagai salah satu perantara dalam mennyebar luas informasi terkini kepada khayalak ramai.

Menurut Eksekutif Kanan Bahagian Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abd Wahit berkata, delegasi kali ini juga membabitkan staf yang bertugas dalam bidang penyiaran, penerbitan dan media baharu UMP. 

Dengan kemahiran yang dikongsikan ini diharapkan dapat dipraktikkan di universiti, tambahan pula kini UMP telah memulakan siaran UMPTV sebagai salah satu medium pengantara hebahan bermaklumat untuk menyampaikan segala perkembangan dalam kampus dan pencapaian  universiti.

“Buat masa ini UMPTV merupakan sebagai  saluran yang memaparkan penerbitan berita terkini dan semasa serta program bual bicara untuk penonton dalam media sosial, iaitu Facebook UMPMalaysia. Ianya dijalankan dengan mendapat sokongan dan kerjasama pihak Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK),” katanya. Dengan pengalaman baharu ini diharapkan dapat memberi pendedahan kepada staf dan mahasiswa UMP mengenai pengurusan rancangan secara langsung.

Sementara itu, bagi Guru Bahasa Kanan PBMSK,  Hajjah Noor Azlinda Zainal Abidin melahirkan rasa bertuah apabila berpeluang mengikuti program ini. Ujarnya, program ini bukan sahaja dapat banyak manfaat yang dipelajari malahan dapat menambahkan ilmu pengetahuan di samping  menjalinkan kerjasama antara UMP dengan pihak luar.

Selain itu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila berpeluang turut serta  dalam menjayakan rancangan Pink Point terbitan TV AlHijrah bersama pengacara Norazidah Mohamed serta personaliti terkenal Datin Fouziah Gous serta suami, Datuk Zhafran Yusof dengan topik Cerewet atau Perfectionist. Beliau mengharapkan program sebegini patut diteruskan pada masa akan datang kerana ianya banyak memberi manfaat kepada warga UMP di samping dapat merapatkan silaturrahim antara staf dan mahasiswa UMP.

Lebih mengembirakan para peserta turut berpeluang melawat Kompleks Nasyrul Quran yang merupakan kilang percetakan al-Quran yang kedua terbesar di dunia selepas Pusat Percetakan Al- Quran Raja Fahd di Madinah. Terletak di Putrajaya, kompleks ini menghimpunkan pelbagai nashkah mushaf Al-Quran seluruh dunia juga merupakan tempat kajian, pameran serta percetakan Al-Quran.

 

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri