TWC gilap semangat kerjasama staf PIMPIN
Bentong, 20 September 2020 – Dalam meningkatkan semangat berpasukan dan mengeratkan hubungan baik antara staf, seramai 15 orang staf Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Team Working & Communication PIMPIN 2020 (TWC 2020) di Cheringin Convention & Spa Resort, Janda Baik bermula 18 hingga 20 September baru-baru ini.
Menurut Pengarah PIMPIN, Dr. Rashidi Abbas, tujuan program ini diadakan sebagai salah satu elemen refreshment kepada semua staf PIMPIN tentang peranan dan hala tuju di samping meningkatkan semangat kerja berpasukan di dalam jabatan.
“Situasi ini memberikan ruang dan peluang untuk staf berbincang memandangkan ketika berada di pejabat mereka sibuk memberikan tumpuan terhadap beban tugas masing-masing.
“Program ini juga dapat menggilap potensi kepimpinan yang ada pada individu supaya dapat memberi impak yang positif kepada organisasi.
“Sepanjang tempoh tiga hari program, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul kerjasama berpasukan dan komunikasi yang berkesan.
“Antaranya ialah Modul Stand Together, Appreciate, Trust, Unite dan Outdoor Team Building Games yang telah disampaikan dengan jayanya oleh pihak konsultant” ujarnya.
Beliau berkata, program TWC 2020 kali ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kerjasama yang erat dalam kalangan staf PIMPIN pada setiap aktiviti dan program yang dianjurkan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua staf yang sentiasa memberikan komitmen jitu untuk memastikan program yang dianjurkan dapat dijalankan dengan jayanya.
Pada sebelah malam para peserta berpeluang untuk mendengar santapan rohani bertajuk ‘Kerja Sebagai Ibadah’ yang disampaikan oleh penulis dan pakar motivasi yang berpengalaman, Ustaz Pahrol Md Juoi.
Sementara itu, menurut salah seorang peserta, Faizal Baharudin, program ini berjaya menaikkan semangat beliau dalam memainkan peranan sebagai tulang belakang dalam organisasi.
“Peserta juga berpeluang mengikuti aktiviti sukan dalam usaha untuk mengeratkan hubungan baik.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang untuk mengasah dan membina sifat kerjasama dan organisasi seterusnya menjadikan PIMPIN sebagai sebuah jabatan yang produktif dan cemerlang,” katanya.
Disediakan Oleh: Muhammad Farid Mohd Idris, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN)
- 134 views