Skip to main content

UMP Advanced hargai 17 staf cemerlang

Kuantan, 25 September 2020 - UMP Advanced Education (UMP Advanced) menghargai sumbangan seluruh warga kerjanya yang cemerlang dalam program Majlis Sekalung Budi UMP Advanced bertempat di Hotel Zenith, Kuantan baru-baru ini. 

UMP Advanced merupakan anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memfokuskan kepada aktiviti Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). 

Dahulunya UMP Advanced  dikenali sebagai Centre for Continuing Education & Professional Development (CENFED) dengan fungsi asalnya untuk pembangunan kemahiran dalam kalangan mahasiswa UMP.
 
Majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Dr. Sabarudin Mohd yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Dr. Mohd Yahya Nordin, Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced.
 
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rashid, UMP Advanced secara hakikinya bertindak sebagai pemangkin dalam usaha UMP untuk memberi peluang latihan, peningkatan kemahiran dan pembangunan latihan profesional kepada masyarakat dan industri setempat selaras dengan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 serta Pelan Induk Berdasarkan PSH peringkat Nasional (2011-2020).  
 
“Fungsi UMPA kini telah diperluaskan dengan penawaran program PSH yang merangkumi program profesional dan eksekutif peringkat diploma sehingga sarjana, program perdana peringkat ijazah sarjana muda dan pembangunan,penyelarasan latihan dan kemahiran,” katanya.
 
Dalam majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Dr. Sabarudin  turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UMP Advanced walaupun usia penubuhannya baharu sahaja mencapai 16 tahun. 

“Saya percaya dengan semangat kesatuan dan komitmen dari semua pihak akan terus melakar kecemerlangan UMP Advanced,” ujar beliau. 
 
Selain itu beliau turut menasihatkan agar staf UMPA perlu berganding bahu antara sama lain dan sisihkan dari sifat takbur, iri hati  dan dengki. 

“Malahan staf perlu menyemai sifat-sifat positif dalam diri untuk terus mengembeling tenaga demi kejayaan  organisasi,” katanya. 
 
Beliau hadir menyampaikan anugerah cemerlang kepada seramai 17 staf UMP Advanced. 

Anugerah lain yang turut disampaikan pada majlis tersebut adalah Anugerah Khidmat Setia dan Anugerah Penghargaan khas UMP Advanced kepada allahyarham Dr. Mohamad Rozi Hassan serta penerima Sijil Penghargaan Taskforce

 
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris