UMP bantu ringankan beban keluarga mahasiswa akibat kediaman runtuh
KUANTAN, 5 Januari 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyegerakan bantuan buat keluarga mahasiswa Fakulti Komputeran (FK), Nur Sufiah Hani Suhaimi yang kediamannya musnah di Taman Gambang Damai akibat runtuhan dalam kejadian awal pagi semalam dekat sini.
Turut terjejas ialah empat buah rumah termasuk milik seorang staf universiti dan 22 buah rumah lain yang diarah berpindah ke tempat yang lebih selamat kerana terdapat unsur berbahaya di kawasan berhampiran.
Menurut bapanya, Suhaimi Yunus, 51, yang menceritakan kejadian berkata, beliau telah mula menyedari rekahan di hadapan rumahnya dan keadaan semakin teruk apabila pulang dari bekerja kelmarin.
“Apabila melihat rekahan yang semakin besar, saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga berpindah ke rumah sewa dalam kawasan perumahan yang sama tidak jauh dari rumah.
“Namun pada malam kejadian, saya hanya sempat memindahkan beberapa barangan penting sahaja dengan turut dibantu oleh jiran-jiran.
“Pada kira-kira jam 3.50 pagi iaitu setelah tiga jam meninggalkan kediaman, saya telah menerima panggilan telefon jiran yang memaklumkan mengenai keadaan rumah saya,” ujarnya.
Ibunya, Nurizah Abu Samah, 51, masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarganya yang hilang tempat berteduh dalam sekelip mata.
Namun, mereka tetap bersyukur ahli keluarganya selamat daripada perkara yang tidak diingini.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff hadir bertemu Nur Sufiah Hani dan keluarganya serta menyaksikan sendiri lokasi kejadian.
“Bagi membantu keluarga yang terkesan akibat bencana, pihak universiti menyediakan sepuluh buah rumah buat staf termasuk keluarga mahasiswa ini untuk menetap di kawasan kediaman di dalam kampus.
“Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan kemudahan tempat berlindung,” katanya.
Selain itu, urusan perpindahan turut dibantu sukarelawan UMP daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Jabatan Pendaftar dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).
Nur Sufiah Hani turut mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti, fakulti dan pelbagai pihak yang menyantuninya ketika dia sekeluarga dilanda musibah yang tidak terduga.
Selain sokongan emosi, JHEPA juga turut menyediakan sumbangan berbentuk pakaian dan keperluan asas harian untuk mereka berdepan saat getir ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang menyerahkan sumbangan segera kebajikan mahasiswa berjumlah RM1,000 untuk keperluan keluarga ini.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 187 views