Skip to main content

UMP Cipta Kecemerlangan bersama Industri, Perkasa Keusahawanan

Kuantan, 19 Februari- Mendepani tahun 2019, Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mengorak langkah mencipta kecemerlangan dan dinamik dalam menjayakan visi UMP menjadi Universiti Teknologi Terunggul. Justeru, Meraikan Kejayaan Mendampingi Industri dan Menyuburi Keusahawanan menjadi tema Amanat Tahunan Naib Canselor 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Gambang hari ini.

Lebih 5,000 orang terdiri daripada warga Universiti Malaysia Pahang ( UMP) hadir untuk mendengar Amanat Tahunan 2019 oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim yang bertemakan ‘Meraikan Kejayaan Mendampingi Industri dan Menyuburi Keusahawanan.

Meraikan kejayaan Prof. Dato Sri Daing Nasir berkata, UMP adalah  universiti pertama dalam kalangan universiti teknikal (MTUN) berjaya berada pada kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019 serta memperoleh penilaian lima bintang untuk kriteria Pengajaran dan Pembelajaran dalam Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating 2018. Pihak QS juga menyenaraikan subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di UMP dalam kelompok 251-300 terbaik di dunia.

Turut dibuktikan dengan pencapaian lima bintang dalam semua aspek penarafan termasuk Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA),  Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan (MyMohes) dan Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara. 

Menurut Prof. Dato Sri Daing Nasir, pertukaran pengetahuan, pembangunan penyelidikan, aktiviti perundingan, latihan dan pengkomersialan bakal menjadi agenda utama dalam memenuhi kehendak industri UMP.

“UMP juga akan turut memanfaatkan Industry Network Alumni Platform (INAP) sebagai suatu platform penting terhadap komitmen tinggi dan usaha berterusan UMP dalam  memperkasa jaringan industri dan hubungan alumni. 

INAP merupakan sebuah inisiatif yang dicetuskan secara kolektif antara Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat serta Persatuan Alumni UMP dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni sebagai platform buat alumni Universiti ini yang berkhidmat di sektor awam dan swasta untuk membina hubungan (networking), berinteraksi dan memberi sumbangsaran atas kapasiti profesional mereka sebagai eksekutif, teknokrat, usahawan, akademia dan sebagainya,” katanya.

Manakala bagi menyuburkan bidang keusahawanan, UMP akan memberi tumpuan terhadap Industri Kecil Sederhana (IKS), memulakan program Teknousahawan yang unik dan membangunkan International Incubator Network.

Dalam menyahut seruan kerajaan untuk memperkasa ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Daing Nasir berkata, UMP bakal menawarkan enam program baharu Sarjana Muda Teknologi  berkaitan kejuruteraan yang mensasarkan lepasan kolej vokasional, politeknik dan institusi latihan kemahiran lain mulai tahun ini.

Bertepatan dengan tema menjana kegemilangan, UMP akan terus memfokuskan lima lonjakan strategik  iaitu Keunggulan Akademik, Kelestarian Kewangan, Keunggulan Penyelidikan dan Inovasi, Keunggulan Jenama dan Kemampanan Sosio- Ekonomi dan Persekitaran. 

Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Wan Azhar Wan Mohd Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengerusi Majlis Tindakan  INAP, Amir Ashraf Hamzah.

Turut berlangsung pelancaran Polisi Hijau UMP dan kempen "Let's Break Up with Single Use Plastic" iaitu kempen untuk mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus UMP yang akan menyaksikan UMP akan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sisa yang merupakan salah satu bidang kesihatan persekitaran dengan memfokuskan kepada enam prinsip iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot & Re-Think. Pelbagai program telah dianjurkan oleh pihak Pusat Pengurusan keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMP (OSHMO) bagi menjayakan agenda pengurusan secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini.

UMP akan terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif berdasarkan lima bidang tujahan berkaitan kejuruteraan kimia, kejuruteraan automotif, bioteknologi industri, kimia halus dan khusus dan kejuruteraan pembuatan yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim