UMP dan Aspen Technology bakal perluas kerjasama dalam bidang teknologi
KUANTAN, 19 Januari 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Aspen Technology (AspenTech) bakal memperluaskan kerjasama universiti dan industri dalam bidang akademik, penyelidikan, jaringan industri serta komuniti.
Kerjasama ini turut membabitkan penubuhan UMP-AspenTech Training Centre dan mewujudkan peluang untuk geran padanan, aktiviti pembelajaran berasaskan kerja dan perkongsian kepakaran dalam industri.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, UMP telah menggunakan perisian AspenTech lebih 15 tahun terutamanya dalam program kejuruteraan kimia.
“Perisian tersebut bukan sahaja digunakan dalam beberapa kursus tahun akhir, Integrated Design Project (IDP) dan projek tahun akhir bahkan turut digunakan dalam bidang penyelidikan,” katanya yang hadir dalam perbincangan membabitkan kedua-dua pihak secara dalam talian.
Perbincangan ini juga akan membolehkan UMP memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja profesional negara yang mahir dan berkualiti.
Malahan pihaknya berharap kerjasama ini akan dapat mengembangkan dan meningkatkan kualiti kurikulum universiti untuk memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Asia Pacific and Japan Aspen Technology, Lawrence Ng berkata, pihak AspenTech berbesar hati untuk bekerjasama dengan UMP, sebuah universiti teknikal yang dihormati, dalam memperkukuh kumpulan bakat kejuruteraan dalam komuniti.
“Sebagai persediaan untuk proses digitalisasi dan industri berintensif modal, cabaran seperti kekurangan kemahiran perlu ditangani.
“Kemampanan dipacu inovasi merupakan misi kritikal dan perisian pengoptimuman aset berada pada kedudukan yang baik untuk merapatkan jurang antara jurutera kimia dan saintis data dengan tumpuan terhadap teknologi maklumat (IT) dan teknologi operasi (OT),” katanya.
Turut sama hadir ialah Pengarah Kanan, Global Customer Support & Training Aspen Technology, David Reumuth, Pengarah, Customer Support & Training, Rocky Liu dan Pengarah Kanan, Field Marketing, Tina Chee.
Selain itu, UMP diwakili oleh Penolong Naib Canselor, Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal, Dekan Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Profesor Madya Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki Nik Mohamed, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani dan Profesor Madya Ir. Dr. Mohamad Rizza Othman selaku penyelaras program.
Berlangsung pada masa yang sama ialah program webinar yang bertajuk Digitalization in The Process Industries yang disertai oleh 60 orang peserta termasuk pelajar, staf dan pihak luar.
Panelis jemputan terdiri daripada pihak AspenTech iaitu Lawrence Ng dan David Reumuth manakala Profesor Madya Ts. Dr. Ruwaida Abdul Rasid bertindak selaku moderator.
Dalam program ini, Profesor Madya Ir. Dr. Mohamad Rizza turut berpeluang menyampaikan sesi penerangan berkaitan Aspen Competency Development yang bakal dilaksanakan.
Disediakan oleh Halizan Mohmood daripada Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat
- 75 views