UMP edar 109 sumbangan daging korban sambut Aidiladha
PEKAN, 22 Julai 2021 – Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini melaksanakan program Ibadah Korban dan Akikah dengan mengorbankan lima ekor lembu di UMP Pekan bagi mengimarahkan suasana Aidiladha.
Program dijalankan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.
Pengarah PIMPIN, Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas menzahirkan rasa syukur Alhamdulillah kerana pada tahun ini, program mendapat penyertaan dalam kalangan staf dan dijalankan dengan bantuan sepuluh orang petugas.
“Agihan tersebut telah diberikan kepada seramai 109 orang yang terdiri daripada mereka yang layak termasuklah staf dari bahagian keselamatan, pelajar antarabangsa, staf landskap dan staf pembersihan yang juga penduduk kampung berhampiran kampus.
“Sepanjang proses korban, semua petugas sentiasa diingatkan untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Mereka dikehendaki berpakaian lengkap perlindungan diri, pelitup muka dan apron plastik,” katanya.
Tambahnya lagi, proses melapah dan memotong daging dibuat di tempat yang lapang sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan Covid-19.
“Selain itu, disebabkan pasukan petugas yang terhad, kami sentiasa memastikan agar semua petugas terdiri daripada mereka yang berkemahiran dalam melaksanakan sembelihan dan pengurusan ibadah korban.
“Dalam pada itu, kaedah pengagihan pula menggunakan kaedah pandu lalu atau beberapa wakil yang telah dilantik untuk mengambil dan mengedarkan daging korban kepada penerima daging korban.
“Ini bagi mengelakkan daripada berlaku kesesakan di lokasi aktiviti korban dijalankan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan ibadah korban dan akikah pada tahun ini.
Pelaksanaan ibadah korban ini bukan sahaja untuk mendapat keredaan Allah SWT malah dapat memberi kegembiraan kepada golongan yang kurang berkemampuan serta menanamkan rasa kasih antara warga UMP dan masyarakat setempat.
Menurut salah seorang staf pembersihan yang menerima daging korban, Nor Mazita Mohammad, 43, dari kampung Teratai, Kuala Pahang, beliau amat bersyukur menerima sumbangan daging korban ini untuk dijadikan juadah bersama keluarga.
“Pada tahun ini, kami hanya menerima daging korban dari UMP sahaja.
“Mungkin kesan daripada pandemik Covid-19 ini yang menyebabkan berkurangnya aktiviti korban dijalankan di sekitar kediaman saya,” ujar ibu kepada dua anak itu,
Beliau yang mewakili rakan-rakannya ketika mengambil agihan daging tersebut berkata, rakan-rakan sekerja amat terharu dan gembira dengan sumbangan yang telah UMP hulurkan.
Bagi rakannya, Norehan Ali, 50, tahun ini tahun pertamanya bekerja sebagai staf pembersihan di UMP.
Beliau tidak menyangka UMP begitu cakna dengan staf terutama kepada golongan yang memerlukan.
“Terima kasih UMP, rezeki buat kami sekeluarga sempena sambutan hari raya Aidiladha tahun ini,” katanya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 79 views