UMP fokus pembangunan mampan memaknakan gagasan Malaysia Madani
PEKAN, 16 Mac 2023 - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman menyampaikan Syarahan Umum bertajuk ‘UMP Madani’ yang memfokuskan kepada Gagasan Malaysia Madani dengan melaksanakan gerak kerja yang komprehensif bagi merealisasikan hasrat universiti dalam mencapai aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seiring dengan agenda negara.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, dalam memaknakan UMP Madani, pengurusan universiti percaya adaptasi yang baik antara kerangka Malaysia Madani dengan nilai teras yang telah wujud di UMP berupaya menghasilkan warga universiti yang mempunyai peradaban yang dikagumi.
“Jika kita lihat kerangka Madani, ia mempunyai pertalian langsung dengan lima nilai teras UMP yang berpaksikan kepada hubungan yang kuat dengan yang Maha Pencipta, teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana, cekal dalam menghadapi cabaran dan proaktif dalam tindakan,” katanya.
Hadir sama dalam majlis Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, ahli Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Ujar beliau, kerangka Madani dan Nilai Teras UMP jika dipetakan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) mempunyai perkaitan yang menyeluruh dengan kesemua 17 SDG.
“Dalam pada itu, usaha pembangunan bakat, digitalisasi, inisiatif berkaitan TVET dan pelbagai sinergi baik berterusan perlu direalisasikan bersama pemain industri di peringkat nasional dan global.
“UMP amat menitikberatkan soal kebajikan dan pembangunan mahasiswanya dalam usaha untuk melahirkan graduan holistik yang mandiri, berdaya saing dan berupaya untuk mencorakkan masa depan yang lebih gemilang untuk negara kita yang tercinta ini.
“Justeru, agenda pemerkasaan mahasiswa ini perlu dipergiat dan diberikan nafas baharu,” ujarnya.
Selain itu, UMP turut memberi perhatian kepada agenda global misalnya pemerkasaaan kesihatan yang menyokong elemen Good Health and Well Being menerusi kempen gaya hidup sihat serta memberi tumpuan terhadap kesihatan mental dalam kalangan warganya.
Beliau mengharapkan agar warga UMP sentiasa berusaha dalam memperkasakan budaya amalan lestari di universiti bagi melindungi alam sekitar dan menyumbang kepada pembangunan mampan seiring dengan konsep Malaysia Madani.
Turut diberi penekanan berkaitan usaha pengurangan karbon dalam UMP turut disokong dengan usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dan pembangunan Kampus Pintar serta merintis usaha bagi mewujudkan Pusat Digital Islam (Islamic Digital Centre) di UMP.
Turut berlangsung pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-21 UMP pada tahun ini dan pelancaran buku UMP’s Cluster of Knowledge dan UMP Sustainable Campus.
Lebih 1,000 pelajar dan staf UMP hadir dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMP Pekan.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 81 views