Skip to main content

UMP hab akses MyREN IPT Pantai Timur

PEKAN, 11 Oktober 2021 - Perpindahan Point-of-Presence (PoP) Malaysian Research & Education Network (MyREN)  Pantai Timur dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang ke  UMP Pekan bakal meningkatkan  pengoperasian PoP menjadi lebih baik. 

Ia sekali gus memberikan kelebihan kepada institusi pendidikan di Pantai Timur untuk menikmati perkhidmatan akses Internet yang terbaik daripada MyREN bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan.
 
MyREN telah dilancarkan pada Mac 2005 di bawah inisiatif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan sasaran untuk menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada sektor pendidikan bagi tujuan pengembangan keupayaan penyelidikan di Malaysia. 
 
Komuniti MyREN ini pada awalnya menghubungkan 12 Universiti Awam (UA) sahaja namun setelah 16 tahun ia kini  telah meliputi 166 institusi  merangkumi 20 UA, tiga IPTS, 33 Politeknik, 102 Kolej Komuniti, empat Hospital Pengajar Universiti dan empat agensi di bawah KPT melibatkan hampir sejuta pengguna yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan pelajar.
 
Menurut Irman Khalil yang menjalankan tugas Pengarah/Ketua Pegawai Maklumat Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK), sejak tahun 2010, UMP merupakan hab utama yang menghubungkan  Pantai  Timur ke dunia luar melibatkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
 
“Kesalinghubungan akses jalur lebar MyREN di dalam Malaysia adalah terdiri daripada tujuh hab PoP.

“Ia melibatkan PoP di Utara Semenanjung (USM), Barat Semenanjung  (UM), Selatan  Selatan (UTM), Timur Semenanjung (UMP), Sabah (UMS), Sarawak (UniMAS) dan Pusat Data Enstek Kementerian Pendidikan Malaysia (PoP Central 1).
 
“Bagi memastikan kemudahan ini beroperasi di tahap optimum, penempatan perkakasan MyREN ini perlu dilengkapi dengan sistem sokongan fasiliti yang berupaya untuk mengekalkan uptime yang tinggi,” katanya.
 
Pasukan Infrastruktur Digital UMP yang bekerjasama bersama dengan pihak KPT dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu Telekom Malaysia (TM) telah bersetuju untuk membuat migrasi  perkakasan daripada kampus Gambang ke fasiliti terkini di Pusat Data UMP di kampus Pekan yang mempunyai Sistem Sokongan Fasiliti yang lebih lengkap. 
Proses migrasi  ini telah berlangsung bermula pada 15 September jam 6 petang dan berakhir pada 16 September jam 5 petang.  
 
Sepanjang tempoh migrasi tersebut, terdapat gangguan kepada semua institusi pendidikan di Pantai Timur yang berhubung ke MyREN. 

Namun begitu, berdasarkan perancangan awal yang telah dibuat dan penglibatan kerjasama yang baik semua wakil institusi pendidikan, kerja-kerja migrasi  telah berjaya dilaksanakan dengan lancar.
 
Melalui MYREN ini sebanyak 166 institusi tersebut mendapat akses secara terus kepada rangkaian pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan antarabangsa yang diliputi oleh jaringan Trans-Eurasia Information Network (TEIN). 

Ini termasuk institusi-institusi luar negara yang dihubungkan ke TEIN melalui Pan-European Research and Education Network (GEANT), INTERNET2 USA, Korea Advanced Research Network (KOREN), China Education dan Research Network (CERNET), Japan Science Information Network (SINET) dan jaringan-jaringan penyelidikan di negara ASEAN.

Disediakan oleh: Mohd Rashid Abu Bakar, Bahagian Infrastruktur Digital, Pusat Teknologi Maklumat dan  Komunikasi

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri