UMP hargai 68 staf setia berkhidmat 20 tahun
PEKAN, 23 Februari 2023 - Seramai 68 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang telah setia menyumbang jasa lebih dua dekad di universiti ini dirai dalam Majlis Sanjungan Budi bersempena Amanat Tahunan Naib Canselor UMP 2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMP baru-baru ini.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin diiringi oleh Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim menyampaikan sijil penghargaan kepada para penerima.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program ini sebagai menghargai sumbangan dan taat setia staf yang telah berkhidmat selama ini dan tahun ini merupakan tahun kedua UMP meraikan staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
“Anugerah ini sebagai satu dorongan untuk pekerja lain dan mengiktiraf mereka yang bekerja dengan penuh dedikasi bagi memajukan universiti,” katanya.
“Selain itu, sumbangan dan jasa pegawai, pensyarah dan staf pelaksana dalam pelbagai bidang ini akan sentiasa dikenang sekali gus membantu membangunkan universiti dengan lebih cemerlang.
“Justeru, saya berharap staf yang menerima penghargaan ini akan terus menjalankan tugas dan perkhidmatan mereka dengan cemerlang serta berkongsi pengalaman dengan rakan sejawat yang lain,” ujarnya.
Dalam majlis itu juga, dua sepasang suami isteri adalah antara 68 staf UMP yang telah berkhidmat selama 20 tahun dirai dalam majlis tersebut.
Pasangan tersebut adalah Hazmin Aris yang merupakan Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan pasangannya, Mimi Rabita Abd Wahit yang merupakan Eksekutif Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. dan pasangan Sharmiza Abdullah, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan pasangannya Mohd Tarmizi Ab Rahman, Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat, Jabatan Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Maklumat.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 126 views