UMP Kekal Terbaik Dalam Pengurusan Kewangan
Pekan, 10 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan. Selain itu, budaya membetulkan (kelemahan) yang biasa dan membiasakan (amalan) yang betul dapat mempertingkatkan tahap pengurusan kewangan Jabatan Bendahari kepada lebih berkualiti, berintegriti dan berinovasi tinggi yang mesra pelanggan.
Usaha ini dalam meningkatkan keberkesanan dan kecekapannya warga kerja UMP untuk terus berusaha meningkatkan momentum prestasi berdasarkan bidang tugas dan tanggungjawab di jabatan masing-masing.
UMP dianugerahkan penarafan 5 bintang dalam Pengauditan Pengurusan Kewangan Indeks Akauntabiliti UMP berdasarkan Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti/(IA) yang dijalankan setiap 2 tahun oleh Jabatan Audit Negara.
Pengauditan ini bertujuan untuk memudahkan pengukuran kualiti secara objektif bagi pengurusan kewangan agensi Kerajaan termasuk universiti awam sebagai Badan Berkanun Persekutuan. Ianya juga adalah selaras dengan teras RMK-9 sebagai mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan dengan mengwujudkan KPI bagi mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam.
Hadir menyampaikan sijil kepada Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff adalah Pengarah Audit Negeri Pahang, Zulkifli Tungal. Hadir sama Yang Timbalan Pengarah Audit Negeri Pahang, Azura Wani Amir Rashid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr Kamal Zuhairi Zamli dan Ketua Pegawai Kewangan merangkap Bendahari UMP, Zainuddin Othman.
Menurut Prof Ir Dr Wan Azhar, bintang atau penarafan (Rating) IA ini diberi berdasarkan kepada tahap pematuhan peraturan kewangan berhubung dengan kawalan terhadap pengurusan, bajet, terimaan, perbelanjaan, pengurusan kumpulan wang amanah atau akaun amanah dan deposit serta aset, inventori dan stor.
“Dalam usaha mengekalkan prestasi pencapaian 5 bintang untuk pengauditan ini, UMP sentiasa membuat kawalan dalaman bagi memastikan skop-skop kawalan yang disenaraikan dipatuhi. Selain itu juga, UMP mengadakan bengkel kepada staf bagi memastikan UMP sentiasa menggunapakai piawaian perakaunan yang terkini,” katanya.
Selain itu, keupayaan untuk menjana kecemerlangan berasaskan prestasi konsisten dan nilai murni merupakan prasyarat penting untuk menjayakan UMP sebagai sebuah universiti gemilang melalui Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang akan direka bentuk tidak lama lagi juga menggesa warganya untuk terus mencipta kecemerlangan dalam semua lapangan.
- 249 views