UMP Kenang Jasa Staf, Rai Felo Tamat Pengajian
Pekan, 16 Disember –Pengalaman 18 tahun berkhidmat pada awalnya sebagai staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Pahang, kemudian sebagai staf Kolej Universiti Teknologi dan Kejuruteraan Malaysia (KUKTEM) yang kemudiannya bertukar nama kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberikan banyak kenangan buat Nor Ashikin Abdul Aziz yang kini telah menamatkan perkhidmatan sebagai pensyarah di Pusat Bahasa Moden dan bersara pada umur 60 tahun pada 3 Oktober lalu.
Berkongsi pengalaman, Nor Ashikin bersyukur apabila berpeluang menimba pengalaman dan menyumbang bakti di universiti ini dan menasihatkan para pensyarah agar terus mendidik anak bangsa dengan ikhlas. Manakala pesara atau bakal pesara juga boleh terus memberi sumbangan apa sahaja mengikut kepakaran masing-masing termasuklah menyumbang derma untuk Yayasan UMP serta lain-lain yang dapat dimanfaatkan komuniti di universiti ini.
Beliau merupakan antara lapan orang staf universiti yang bersara pada tahun ini dan dirai dalam Majlis Jasa Dikenang 2019 dan Majlis Apresiasi Staf & Felo Tamat pengajian anjuran Jabatan Pendaftar di UMP Pekan baru-baru ini. Mereka yang turut diraikan adalah Haji Zahari Muda dari Bahagian Keselamatan UMP, Nik Mohd Kamil bin Nik Yusof dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Haji Ruslan Che Pee dari Perpustakaan, Prof. Madya Dr. Norrihan Sulan, Abd Khadir Shafie dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH), Suriya Kumar A/L V Sinnadurai dan Nor Ashikin binti Abdul Aziz dan Profesor Dato’ Dr. Hasnah Haron dari Fakulti Pengurusan Industri.
Majlis diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Prof.Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bertempat di Dewan Bankuet , Canseleri UMP Pekan dan pengurusan universiti. Menurut Prof.Ir. Dr. Wan Azhar berkata, majlis ini merupakan sebahagian inisiatif dan komitmen pihak pengurusan untuk konsisten mendekati serta berinteraksi dengan warga kerja dan pesara UMP dengan semangat kekeluargaan.
Pada masa yang sama majlis turut meraikan 30 staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah. Daripada jumlah tersebut seramai enam orang staf akademik yang berjaya bergraduasi dalam tempoh pengajian asal atau lebih awal dari tempoh kelulusan asal dan mereka menerima sijil penghargaan khas dan insentif kecemerlangan melalui program Graduate On Time (GOT) .
Prof.Ir. Dr. Wan Azhar mengucapkan tahniah kepada 30 staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian itu dan mengharapkan agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan ke arah kecemerlangan Universiti.
“Sehingga kini bilangan pensyarah yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) di UMP telah mencapai 67.2 peratus dengan pencapaian ini diharapkan staf akademik dapat memberikan sumbangan dalam kepakaran masing-masing agar memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat setempat selaras dengan tagline UMP "Memasyarakatkan Teknologi" yang mendasari Pelan Strategik UMP 2020,” katanya.
Antara penerimanya insentif kecemerlangan melalui program Graduate On Time (GOT) adalah Dr. Noor Intan Shafinas Muhamad (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses), Dr. Muhammad Rusydi Mohamad Yasin (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan & Mekatronik), Dr. Mohd Fazli Farida Asras, Nazira Mahmud dan Nurhaizan Mohd Zainudin dari Fakulti Sains & Teknologi Industri serta Dr. Noradilah Md Nordin dari Pusat Sains Kemanusiaan.
UMP turut mengabadikan kenangan buat tiga orang staf yang telah kembali ke rahmatullah tatkala masih dalam perkhidmatan di universiti. Ketiga-tiganya telah berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada UMP sepanjang hayat mereka dan ketiadaannya amat dirasai sehingga kini. Mereka adalah allahyarham Arman A. Rahim (Jabatan Pendaftar), allahyarham Said Ismail (Pusat Sukan & Kebudayaan) dan allahyarham Abd Karim Ibrahim (Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH).
Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 185 views