UMP perkenalkan set hidangan Menu Kasih Rahmah
GAMBANG, 24 Februari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan set hidangan Menu Kasih Rahmah yang ditawarkan kepada warga UMP yang dapat dinikmati dengan hidangan tengah hari pada harga RM 5.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bertempat di Orange Kafe berdekatan bangunan pejabat UMP Advanced dan Fakulti Pengurusan Industri di UMP Gambang yang pada masa yang sama turut merasmikan Dmagia Café yang baharu memulakan operasinya.
Dalam ucapannya, Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan terima kasih kepada semua pengusaha kafe terutama Pengarah Operasi DMagia Cafe, Dato' Haji Yassir Haji Abu Hanifah yang terlibat dalam menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan set Menu Kasih Rahmah di UMP.
“Set Menu Kasih Rahmah ini yang menawarkan makanan siap masak pada harga maksima RM 5 adalah usaha kebajikan untuk semua pengguna khususnya golongan B40,” katanya.
Hadir sama Pengurus Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah, Pengurus, Bahagian Khidmat Pengurusan, Hajah Sabarehan Ismail, Pengarah Operasi DMagia Cafe, Dato' Haji Yassir Haji Abu Hanifah dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Agha Khilfi Suarno.
Menurut Dato' Haji Yassir, sebagai mengetuai semua kafe di UMP, beliau amat gembira dapat menjayakan program ini di enam buah kafe di Gambang dan Pekan.
Beliau mengharapkan Menu Kasih Rahmah ini dapat meringankan beban dan mampu memberi manfaat kepada semua pihak.
Manakala menurut alumni UMP yang juga merupakan salah seorang pengusaha kafe, Nor Shahadah Nasiruddin, 31 berkata, pengalamannya sebagai pelajar sebelum ini pastinya inisiatif ini amat memberi manfaat kepada semua.
Ujarnya, berdasarkan pengalaman, beliau menjual makanan dengan harga yang mampu untuk dinikmati semua pelajar.
Untuk mempelbagaikan citarasa, beliau telah menyediakan set sarapan pagi dengan harga RM3, Set Makan Tengah Hari iaitu Nasi putih, ayam dan sayur dengan harga RM5.
Manakala pada sebelah petang hingga ke malam pihaknya menyediakan set makanan menu barat seperti pasta dan set hidangan menu Chicken Chop.
Sementara itu, menurut seorang pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Aizat Mohd Nasir beliau amat menghargai inisiatif universiti dan pengusaha yang menyediakan Set Menu Kasih Rahmah ini.
Baginya secara tidak langsung dapat meringkan beban pelajar yang tinggal di dalam dan luar kampus.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 63 views