UMP terima kunjungan KP Pendidikan Tinggi
PAYA BESAR, 24 Februari 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato' Dr. Husaini Omar dan delegasi dari Kementerian Pengajian Tinggi di UMP Kampus Gambang baru-baru ini.
Turut sama menyertai delegasi Pengarah Bahagian Standard Swasta KPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood, Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat, Mat Hassan Ibrahim dan Pengarah, Bahagian Mahasiswa Holistik, Profesor Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Dato' Mohd Sharil Abdullah, Pengarah Bahagian Governan IPTA, Ahmad Rizal Adnan dan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah.
Delegasi yang tiba pada jam 8.15 pagi itu telah disambut oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UMP.
Dalam sesi lawatan hampir dua jam itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin telah membentangkan mengenai Pelan Strategik UMP 2021-2025 dan membincangkan mengenai Tranformasi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Manakala dalam ucapan Profesor Dato' Dr. Husaini Omar, beliau mengharapkan agar Pelan Strategik UMP ini dapat mencapai matlamat dan hala tuju UMP sebagai sebuah universiti yang berfokuskan TVET.
Menurutnya, UMP perlu komited dan menyahut cabaran dengan mengkomersialkan produk-produk penyelidikan teknologi yang memberi impak kepada masyarakat seterusnya memberikan pulangan yang baik kepada universiti.
“UMP juga disaran agar dapat menyelaras dan memperkasakan tadbir urus TVET bersama keempat-empat buah universiti di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) selaras dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar Pelan Strategik UMP juga perlu berpandukan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan sumbangan buat UMP.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 117 views